Dr. Afif Bahardin
KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya kerajaan mengisytiharkan pendekatan “social distancing” seperti mana yang telah disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi mengawal penularan Covid-19 dengan lebih pantas.
ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin berkata, kes di Masjid Sri Petaling merupakan contoh jelas yang menuntut bahawa pendekatan “social distancing” perlu diisytiharkan dalam tempoh terdekat melihat kepada beberapa siri acara dan keramaian yang juga telah diadakan beberapa hari sebelum ini.

Beliau turut mencadangkan kepada kerajana supaya bertindak segera mengerah anggota askar dan polis bersama barisan hadapan (frontliners) Kementerian Kesihatan dalam menjalankan pengesanan kontak (contact tracing) bagi mengesan kesemua kontak yang terdekat dan terjejas.
Dr Afif yakin langkah itu akan akan melicin dan memudahkan kerja-kerja Kementerian Kesihatan dalam berdepan wabak pandemik COVID-19.
Katanya, kerjasama daripada semua pihak akan memastikan pengawalan wabak ini dapat dijalankan dengan lebih mudah.
“Saya juga menyarankan kepada seluruh rakyat Malaysia agar kekal tenang dan mematuhi segala arahan dan prosedur daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dalam mendepani wabak COVID-19,” katanya dalam kenyataan di sini.
Dr Afif berkata, pePenularan wabak COVID-19 yang melanda di serata dunia menimbulkan krisis ekonomi dan sosial yang meruncing dan mewujudkan keresahan dalam segenap rakyat Malaysia.
Katanya, peningkatan sebanyak 190 kes pada 15 Mac 2020 memberi indikator yang amat jelas akan keseriusan penularan wabak pandemik dalam negara ini dan kerajaan perlu mengambil pendekatan yang holistik dan efektif dengan kadar segera. – MalaysiaGazette