KUALA LUMPUR – Sebanyak 120 kes baharu positif Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif kes setakat ini adalah sebanyak 673 kes.
Menteri Kesihatan, Datuk Dr Adham Baba berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 95 kes positif Covid-19 adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling.
Sehingga kini, katanya, sebanyak 12 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.
Terdapat tujuh kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 49 kes.
Semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sebagai langkah drastik untuk mengekang penularan wabak maut itu dengan cara menghadkan pergerakan orang ramai.
“Pendekatan ini perlu dilaksanakan oleh kerajaan bagi mengelakkan lebih ramai rakyat negara ini daripada dijangkiti wabak jangkitan Covid-19 yang kini telah memasuki gelombang kedua.
“Walaubagaimanapun, tindakan tersebut tidak akan menjejaskan perkhidmatan kesihatan di mana ianya akan terus diberikan oleh KKM di kesemua fasiliti dan begitu juga perkhidmatan kesihatan swasta boleh diteruskan.
“KKM ingin menggesa orang ramai untuk mematuhi segala arahan berkaitan dengan perintah tersebut, yang akan dikuatkuasakan mulai 18 Mac 2020 hingga 31 Mac 3020.
“Kegagalan mematuhi mana-mana arahan tersebut, sekiranya disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 24 Akta 342,” katanya.
Untuk kesalahan pertama tegas beliau seseorang itu boleh dipenjarakan maksimum 2 tahun atau denda atau kedua-duanya.
“Kesalahan kedua atau berikutnya boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua dua sekali serta kesalahan berterusan pula melibatkan denda selanjutnya yang tidak melebihi RM200 bagi tiap-tiap hari kesalahan itu berterusan.
“Setiap individu perlu menjadi rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan menjalankan peranan masing-masing untuk membantu kerajaan Malaysia dalam membendung penularan kejadian COVID-19.
“Antara tindakan-tindakan yang harus diambil oleh setiap rakyat Malaysia bagi mencegah dan mengawal jangkitan Covid-19, selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan adalah mengamalkan tahap kebersihan yang optimum pada setiap masa, seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitiser).
“Sentiasa mengamalkan etika batuk (cough etiquette) yang baik, iaitu menutup mulut dan hidung dengan tisu apabila batuk mahupun bersin, seterusnya membasuh tangan dengan serta merta dan segera mendapatkan rawatan jika mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk, selesema, sakit tekak,” tegas beliau.
















