Asojan

KUALA LUMPUR – Semua mesyuarat cawangan MIC telah ditangguhkan seluruh negara  mulai 16 Mac sehingga ke satu tarikh lain berikutan kebimbangan penularan Covid-19.

Setiausaha Agung MIC, Datuk M Asojan memberitahu MalaysiaGazette, ini merupakan langkah berhati-hati susulan peningkatan angka jangkitan Covid-19 yang begitu ketara.

“Semua mesyuarat cawangan MIC yang sepatutnya bermula 16 Mac ini akan ditangguh kepada satu tarikh lain yang kita akan maklumkan kelak.

“Semua program MIC yang membabitkan orang ramai juga adalah tidak digalakkan buat masa ini dan dinasihatkan agar ditangguhkan.

“Keutamaan ketika ini adalah bagaimana untuk tangani Covid-19 terlebih dahulu,” katanya.

Semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terpaksa mengambil tindakan drastik bagi membendung pandemik Covid-19 dengan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan bermula lusa (18 Mac 2020) sehingga 31 Mac 2020.

Perintah Kawalan Pergerakan melibatkan penutupan semua rumah ibadat dan premis perniagaan kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

Setakat semalam, angka positif pandemik Covid-19 meningkat kepada 553, menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast