Adnan Mat

KUALA LUMPUR- Kerajaan diharap dapat mengambil langkah sewajarnya dalam menjaga kebajikan penjawat awam yang terpaksa bertugas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan selama dua minggu bermula esok.

Menurut Pengerusi Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat, orang ramai juga diminta memahami tugas penjawat awam yang terpaksa berkhidmat ketika negara berhadapan krisis Covid-19.

“CUEPACS menyambut baik dan menyokong sepenuhnya usaha yang dilakukan oleh kerajaan  bagi membendung penularan wabak Covid 19 di negara ketika ini.

“CUEPACS yakin bahawa keputusan yang dibuat oleh kerajaan adalah amat tepat bagi mengawal penularan wabak covid 19 demi untuk menjaga kepentingan rakyat.

“CUEPACS berharap semua rakyat memberi sokongan dan yakin akan apa yg dilakukan oleh kerajaan pada hari ini serta kita sama-sama menjaga keamanan bumi tercinta ini.

“Kurangkan pergerakan atau perjalanan yang tidak perlu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, Adnan menggesa syarikat-syarikat penerbangan memberi kelonggaran kepada pelanggan yang telah membuat tempahan untuk mengubah status tiket kepada “open” dan bukannya membatalkannya terus tanpa melakukan pemulangan wang kepada pelanggan.

Ini katanya, bagi mengurangkan kerugian pengguna yang telah membuat tempahan awal.

Penyedia perkhidmatan pelancongan dan perhotelan juga menurut beliau perlu bertimbang rasa sekiranya terdapat tempahan yang terpaksa dibatalkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.-MalaysiaGazette