Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi (tengah) diiringi Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid (dua kiri) bercakap semasa sidang media pada Majlis Perasmian Outlet Tealive di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, (KPDNHEP) Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 17 MAC 2020.

PUTRAJAYA – Kerajaan membenarkan kedai makanan dan restoran boleh meneruskan operasi ketika perintah kawalan pergerakan berkuatkuasa esok.

Bagaimanapun, ia hanya untuk dibungkus dibawa balik atau melalui atas talian sahaja.

Menurut Menteri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi, orang ramai tidak dibenarkan untuk makan atau berkumpul beramai-ramai di premis-premis berkenaan.

“Terpulang kepada kebijaksanaan pengendali restoran atau peniaga untuk menjual barangan makanan namun hanyalah untuk belian ‘take away’ atau membelinya melalui atas talian.

“Kita tidak galakan apa-apa aktiviti berkumpul dalam kuantiti besar di luar, jadi untuk makan-makan di luar tidak boleh.

“Pasar malam juga tidak boleh ya, apa guna kita keluarkan perintah kawalan pergerakan jika semua ini dibuka, objektif perintah itu tidak masuk akal nanti,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 2,500 penguatkuasa seluruh negara akan dikerahkan memantau harga barang-barang kawalan pada setiap waktu sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan,” jelasnya. -MalaysiaGazette