Pelajar-pelajar diperiksa suhu badan sebelum menaiki bas yang disediakan UniMAP sebelum pulang kampung masing-masing.

KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengambil tanggungjawab menyediakan perkhidmatan pengangkutan dengan menyewa 13 buah bas khusus untuk menghantar lebih 500 pelajar pulang ke kampung halaman masing-masing.

Inisiatif tersebut diambil susulan pertemuan dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP sebaik sahaja pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi.

Naib Canselor, Prof. Ir. Ts Dr. R Badlishah Ahmad berkata, melalui inisiatif tersebut, UniMAP percaya ia mampu mengurangkan risiko jangkitan virus Covid-19 yang kini telah diisytiharkan pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan telah menyebabkan dua kematian di Malaysia.

Deretan bas yang disediakan UniMAP.

“Untuk malam ini sebanyak 13 buah bas terlibat dan bagi perjalanan 18 Mac pula, UniMAP menyediakan 17 buah bas lagi untuk menampung 680 pelajar menjadikan keseluruhan 30 buah bas dengan 1200 pelajar terlibat.

“Bas-bas yang disediakan ini membabitkan perjalanan ke Lembah Klang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor serta negeri-negeri di Pantai Timur dan setiap pelajar turut menjalani pemeriksaan kesihatan khas yang dikendalikan oleh pasukan petugas Pusat Kesihatan Universiti (PKU) sebelum dibenarkan menaiki bas.

“Dengan cara ini, kita berharap para pelajar tidak terdedah kepada risiko kontak bersama orang awam selain dapat memastikan pelajar selamat tiba ke kampung halaman masing-masing,” ujarnya.

Para pelajar menjalani pemeriksaan suhu badan.

Beliau menambah, selain inisiatif tersebut, UniMAP turut menyediakan penginapan kepada para pelajar yang tidak pulang ke kampung dengan kemudahan kedai runcit serta kafeteria beroperasi seperti biasa tetapi hanya terhad untuk makanan berbungkus sahaja. – MalaysiaGazette