Shahril Sufian Hamdan.

SUDAH banyak persoalan tentang apa yang bakal berlaku ke atas nasib pekerja, peniaga kecil dan lain-lain.

Bila krisis melanda, hampir semua akan terkesan tapi tak boleh dinafikan golongan berpendapatan rendah paling berisiko terkesan dengan krisis Covid-19 yang sedang melanda negara kita sekarang.

Kerajaan ada pilihan.

Setiap pilihan ada baik dan buruknya tetapi memilih untuk tidak berbuat apa lebih buruk kesannya.

Saya tak bermaksud kerajaan sekarang tak buat apa-apa tapi bagi saya kerajaan perlu memperkenal dan melaksana langkah-langkah yang lebih drastik untuk melindungi dan menyokong golongan-golongan yang terkesan dengan krisis ini.

Cadangan saya untuk pertimbangan pihak kerajaan antaranya adalah:

1. Penangguhan atau morotarium pembayaran semula pinjaman kepada individu dan juga syarikat dan perniagaan yang terjejas dengan syarat sebelum krisis Covid-19 melanda, individu dan perniagaan ini mempunyai rekod pembayaran semula yang baik dan syarikat ini tidak akan membuang pekerja.

Morotarium ini mestilah dijamin oleh kerajaan supaya pinjaman individu dan perniagaan tidak menjadi pinjaman tidak berprestasi atau non-performing loan (NPL) yang akan memberi kesan terhadap sistem perbankan negara.

2. Sekiranya selepas morotarium pembayaran semula pinjaman diberikan, perniagaan dan syarikat masih tidak mampu membayar gaji pekerja, kerajaan akan memberi bantuan subsidi gaji setinggi 75 peratus daripada gaji pekerja-pekerja dalam syarikat yang terkesan.

3. Penangguhan pembayaran cukai pendapatan korporat ke tahun yang akan datang, sekali lagi dengan syarat syarikat-syarikat yang terbabit tidak membuang pekerja.

4. Pembayaran tunai secara terus kepada individu-individu yang berisiko tinggi untuk terjerumus ke kancah kemiskinan akibat diberhentikan kerja atau diberi cuti tanpa gaji.

Ada banyak lagi pilihan dasar yang boleh dilaksanakan tetapi pointnya adalah langkah-langkah ini mesti bertujuan untuk mengelakkan syarikat dan perniagaan gulung tikar dan mengelakkan pemberhentian pekerja yang akan meningkatkan kadar pengangguran dan ketiadaan pendapatan di kalangan pekerja.

Macam mana kerajaan nak buat?

a) Kerajaan dan rakyat mesti terima kenyataan bahawa defisit kerajaan akan meningkat. Defisit kerajaan boleh ditangani dan sebenarnya sangat diperlukan dalam keadaan krisis seperti sekarang.

Defisit boleh dikurangkan semula apabila krisis sudah berlalu dan ekonomi kembali pulih.

Tiada siapa yang risaukan tentang defisit semasa ‘zaman perang’. Dalam ‘peperangan’ ini, rakyat hanya risaukan esok ada kerja tak? Duit dalam kocek cukup tak nak beli makanan? Anak isteri keluarga nak makan apa malam ni?

b) Saya sedar bahawa terdapat kekangan dari segi hasil kerajaan kerana mengikut undang-undang negara, perbelanjaan mengurus hanya boleh dibiayai melalui hasil kerajaan dan kerajaan tidak boleh menggunakan pinjaman untuk membiayai perbelanjaan mengurus.

Oleh sebab harga minyak menjunam baru-baru ini, kerajaan perlu kreatif sekiranya pindaan undang-undang sukar untuk dilaksanakan. Ada pelbagai pilihan dasar yang boleh dipilih, contohnya perbelanjaan di luar jangka, Bank Negara sebagai perangka dasar monetari yang boleh bertindak membantu keadaan ekonomi negara.

c) Sekiranya kerajaan perlu menerbitkan bon atau sukuk untuk membiayai program dan polisi spesifik berkaitan Covid-19, buatlah. KWSP atau Bank Negara sendiri boleh langgan bon dan sukuk tersebut.

Dalam keadaan sekarang terdapat lebihan kapasiti dalam pasaran buruh selepas pekerja terpaksa bercuti tanpa gaji, diberhentikan dan digantung kerja. Sekiranya Kerajaan menyuntik wang ke dalam ekonomi sebenar, risiko untuk berlaku inflasi berlebihan adalah rendah.

Kilang-kilang di China juga sudah mula beroperasi semula, jadi isu rantaian bekalan saya rasa akan kembali pulih dalam masa yang terdekat.

Kerajaan perlu memastikan permintaan dan penggunaan swasta tidak terjejas teruk. Kerajaan perlu memasukkan duit ke dalam kocek rakyat. Subsidi gaji ke, kredit cukai pendapatan ke atau tambahan bantuan tunai terus kepada golongan sasar kesemuanya patut dipertimbangkan.

Cadangan saya di atas tidaklah menyeluruh atau komprehensif. Tetapi saya berharap kerajaan boleh mempertimbangkannya.

Kita tidak ada masa lagi. Lebih lambat kerajaan bertindak, lebih lama dan panjang masanya untuk ekonomi rakyat dan negara kita pulih. Buatlah sesuatu sekarang. -MalaysiaGazette

Shahril Sufian Hamdan
Ketua Penerangan UMNO Malaysia merangkap
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia