Datuk Kamarudin Jaffar

PUTRAJAYA – Seramai 841 rakyat Malaysia terkandas di 20 buah negara berikutan penguatkuasaan peraturan–peraturan kawalan atau sekatan perjalanan oleh pelbagai negara sebagai langkah kawalan wabak Covid-19.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara tersebut.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar merangkap Pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 di kementerian itu turut mengeluarkan senarai 20 negara tersebut.

India merupakan negara paling tinggi mempunyai jumlah rakyat Malaysia yang terkandas iaitu 274 orang diikuti Uzbekistan 209 orang dan Maghribi 160 orang.

Di Mesir seramai 43 orang rakyat Malaysia terkandas dan 28 orang pula berada di Arab Saudi manakala Bangladesh dan Sweeden masing-masing merekodkan 26 kes warga Malaysia terkandas.

Di Sepanyol 19 orang rakyat Malaysia terperangkap manakala Austria seramai 11 orang.

“Semua rakyat Malaysia yang terkandas tersebut telah diberikan bantuan konsular oleh Perwakilan Malaysia di luar negara meliputi nasihat berkenaan urusan penginapan sementara, laluan penerbangan alternatif, dan bantuan-bantuan lain yang berkaitan.

“Kementerian Luar Negeri seterusnya ingin memaklumkan bahawa Pejabat Perwakilan yang terlibat telah berjaya membantu memudah cara urusan pulang bagi sejumlah 116 rakyat Malaysia ke Malaysia iaitu 113 dari Maghribi; dan tiga dari Maldives,’ katanya dalam kenyataan tersebut.

Beliau juga mengulangi penegasan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, bahawa Perintah Kawalan Pergerakan oleh Malaysia tidak menghalang kemasukan rakyat Malaysia dari luar negara sepanjang tempoh penguatkuasaan perintah tersebut.

Katanya, rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara juga diminta untuk terus bertenang dan menghubungi Perwakilan Malaysia yang berkenaan di samping mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.

“Rakyat Malaysia di luar negara juga disarankan untuk mendaftarkan diri di Perwakilan Malaysia yang terdekat,” katanya. – MalaysiaGazette