Datuk Iskandar Abdul Samad
Iskandar Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia diminta mengikut jejak langkah kerajaan Itali dengan menggantung pembayaran balik semua pinjaman perumahan untuk membantu rakyat menghadapi kesan dari pandemik Covid-19.

Penggantungan ini bukan kali pertama di Itali tetapi pernah berlaku ketika krisis kewangan melanda negara Eropah itu.

Di Malaysia, kesan kesihatan wabak ini melibatkan ribuan rakyat dan negara telah mencatatkan kematian pertama semalam.

Tetapi kesan kewangan wabak ini akan melibatkan lebih ramai rakyat Malaysia, kata
Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH), Datuk Iskandar Abdul Samad.

Menurutnya, ramai yang kehilangan pendapatan kerana diwajibkan mengambil cuti tanpa gaji.

”Mereka yang terlibat di dalam perniagaan dan pembekal perkhidmatan melihat pendapatan mereka terjejas akibat dari pengurangan permintaan atau arahan kawalan pergerakan.

”Paling terkesan adalah mereka yang terlibat di dalam perniagaan kecil-kecilan seperti berniaga di pasar atau membuka warung,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdapat cadangan agar mereka berbincang dengan pihak bank untuk menjadualkan semula pembayaran pinjaman mereka namun, katanya, bukan semua dalam kalangan mereka berupaya mengadakan perbincangan dengan pihak bank.

Tegas beliau, inisiatif ini perlu datang daripada kerajaan dengan mengadakan perbincangan dengan pihak bank dan institusi-institusi kewangan.

Tanpa inisiatif dari kerajaan, tidak hairan jika ramai yang akan melihat kediaman mereka dilelong oleh pihak bank. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast