MAS
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Bhd. Kapten Izham Ismail.

KUALA LUMPUR- Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, Kapten Izham Ismail memohon maaf kepada semua pelanggannya berikutan perubahan mendadak jadual penerbangan yang mungkin menjejaskan perancangan awal pelanggan.

Ia ekoran Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa selama dua minggu bermula hari ini.

Katanya, Malaysia Airlines juga terpaksa menampung kos operasi tambahan kerana ia perlu melakukan penyelarasan bersesuaian dalam mematuhi perintah tersebut.

Jelas Izham, antara tindakan yang diambil adalah dengan membatalkan atau menggabungkan penerbangan bagi mengawal kos dan dalam masa yang sama memenuhi permintaan pelanggan.

“Situasi sangat tidak menentu sejak dua hari lalu dan kami pula terpaksa melakukan pembatalan penerbangan di saat-saat akhir bagi mematuhi larangan tersebut.

“Pendekatan yang tidak tersusun memberikan cabaran besar kepada operasi kami namun begitu Malaysia Airlines cuba sedaya upaya untuk membantu penumpang meneruskan perjalanan melalui syarikat penerbangan lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain mengurangkan jumlah penerbangan, Malaysia Airlines juga telah menggantung perkhidmatan ke India pada 17-31 Mac ini dan penerbangan ke Filipina di antara 21-31 Mac 2020 susulan larangan keluar dan masuk dari Malaysia.

Sebelum pengaktifan Perintah Kawalan Pergerakan, Malaysia Airlines telah menggantung penerbangannya ke Arab Saudi, Korea Selatan dan Beijing Daxing serta Kota Kinabalu-Shanghai.

Ia juga telah mengurangkan kapasiti penerbangan ke Australia dan New Zealand susulah dasar pengasingan sendiri kedua-dua negara tersebut.-MalaysiaGazette