Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Para peminjam Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dikecualikan daripada pembayaran balik selama tiga bulan mulai sekarang.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Noraini Ahmad berkata, penangguhan bayaran balik selama tiga bulan itu berkuatkuasa serta merta sehingga 30 Jun ini.

“Mengambil kira kes wabak penyakit Covid-19 kepada ekonomi negara yang mengakibatkan kehilangan dan kekurangan sumber pendapatan kepada peminjam PTPTN, kerajaan bersetuju PTPTN tangguhkan pembayaran balik pinjaman itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selaras dengan penangguhan tersebut, kata Noraini, semua peminjam PTPTN juga akan dikecualikan daripada tindakan penguatkuasaan dan perundangan.

“Kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi dan PTPTN sentiasa prihatin, peka serta mengambil berat terhadap kebajikan semua peminjam PTPTN,” katanya. – MalaysiaGazette