Pegawai penguatkuasa Perkeso melekatkan pelekat ops kesan di premis yang telah diperiksa pada Ops Kesan Perkeso 2020 di Pasar Borong Nilai 3, Negeri Sembilan. foto AFIQ RAZALI, 02 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menyediakan bantuan kewangan sebanyak RM600 sebulan kepada pekerja swasta yang diberi notis cuti tanpa gaji sejak 1 Mac lalu.

Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, bantuan di bawah Program Pengekalan Pekerja (ERP) itu akan diberi selama enam bulan kepada pekerja yang layak iaitu mencarum dengan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Perkeso.

“Terhad kepada pekerja yang bergaji RM4,000 dan ke bawah. Majikan membuat permohonan bagi pihak pekerja dan majikan hendaklah menyalurkan RM600 terus ke dalam akaun pekerja,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kira-kira 6.9 juta pekerja mencarum dengan SIP dan mendapat perlindungan sekiranya berlaku kehilangan pekerjaan.

Jika ada dalam kalangan pekerja diberi notis cuti tanpa gaji bermula 1 Mac lalu kesan penularan wabak Covid-19, mereka juga layak mendapat manfaat ERP berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan.

Selain itu, Perkeso juga akan menyediakan program penempatan pekerjaan serta latihan.

Antara lain, jelas beliau lagi, pekerja yang berdaftar dan mencarum di bawah sistem tersebut juga akan menerima elaun mencari pekerjaan iaitu bermula 80 peratus gaji anggapan selama enam bulan dengan kadar menurun kepada 50 peratus hingga 30 peratus -MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.