Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- PLUS Malaysia Bhd. (PLUS) mengesahkan seorang kakitangannya di Plaza Tol Ebor (Plaza Masuk) dijangkiti Covid-19 positif.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, syarikat pengendali lebuh raya itu berkata, kakitangan yang bertugas sebagai Pembantu Khidmat Pelanggan itu, kini sedang dirawat di sebuah pusat perubatan kerajaan.

Sehubungan dengan itu, Plaza Tol Ebor (Plaza Masuk) menghala ke Lebuhraya ELITE akan ditutup sementara mulai jam 12:01 pagi hingga 11:59 malam pada 19 Mac (Khamis) untuk kerja-kerja sanitasi dan pembersihan.

Pengguna lebuh raya dari Shah Alam, Batu Tiga dan kawasan sekitar yang menghala ke KLIA, Putrajaya dan selatan dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya ELITE melalui Plaza Tol Shah Alam atau Seafield sepanjang tempoh penutupan berkenaan.

“PLUS juga telah mengarahkan semua kakitangannya yang mempunyai hubungan rapat dengan kakitangan terbabit supaya mengadakan pemeriksaan dan saringan kesihatan serta dikuarantin.

“Pada masa yang sama, PLUS memberi jaminan bahawa kerja-kerja disinfeksi dan pembersihan diadakan di plaza tol yang terbabit,” katanya.

PLUS juga menasihatkan semua pengguna lebuhraya supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan dalam usaha menangani jangkitan Covid-19. Kaedah terbaik adalah menerusi penjarakkan sosial dan mengelakkan tempat-tempat sesak.

Oleh itu, semua R&R PLUS pada ketika ini hanya menyediakan jualan makanan secara bungkus dan semua medan makan ditutup bagi mengelakkan pelanggan berkumpul.

Selain itu, pelanggan yang beragama Islam dinasihatkan supaya membawa sendiri kelengkapan beribadat seperti sejadah, kain pelikat ataupun telekung untuk solat di surau R&R.

PLUS juga menasihatkan pengunjung R&R yang berhenti untuk membeli makanan supaya beratur di dalam jarak satu meter di antara satu dan lain.

Hanya seorang wakil dari setiap kenderaan dibenarkan untuk keluar membeli makanan dari gerai R&R bagi pihak penumpang yang lain.- MalaysiaGazette

  

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast