Pemain-pemain pasukan Malaysia ketika sesi latihan rasmi sempena perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 bagi menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 13 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Semua pasukan beraksi dalam Liga Malaysia (Liga-M) dilarang mengadakan sebarang sesi latihan atau perlawanan persahabatan sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula hari ini sehingga 31 Mac ini.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam kenyataannya memaklumkan pemain asing yang beraksi dalam Liga-M juga tidak dibenarkan sama sekali meninggalkan negara ini kerana dikhuatiri tidak dibenarkan masuk semula susulan sekatan yang sama.

“MFL selaku badan pentadbir Liga-M berharap semua pasukan dapat mematuhi arahan tersebut dalam usaha kerajaan membendung penularan wabak Covid-19.

“Sebarang pemakluman terkini berhubung sekatan perjalanan yang dikuatkuasakan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa kepada semua pasukan selaras dengan arahan kerajaan Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan berasingan, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memuji tindakan pantas MFL serta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mengambil keputusan menunda semua perlawanan Liga-M susulan penularan wabak Covid-19.

MFL dan FAM sebelum itu mengadakan kunjungan hormat ke atas Reezal Merican di Menara KBS, Putrajaya semalam.

Rombongan itu diketuai Presiden FAM merangkap Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin, Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam, Ketua Pegawai Eksekutif MFL merangkap Naib Presiden FAM Datuk Ab Ghani Hassan serta Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Subahan Kamal dan Datuk Mohd Yusoff Mahadi.

Kunjungan hormat itu bertujuan menjelaskan peranan dan fungsi MFL selain langkah proaktif MFL dan FAM dalam membantu kerajaan menangani penularan wabak Covid-19. – MalaysiaGazette