Naib Canselor UTeM Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim.

KUALA LUMPUR – Ekoran penularan wabak Covid 19 ini maka pihak Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sangat mengambil berat dan prihatin berhubung aspek kesihatan dan keselamatan warganya.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim berkata, berikutan tahap penularan yang semakin serius, pihaknya telah menubuhkan Jawatankuasa Krisis UTeM.

Jelas beliau ia adalah berperanan dalam menguruskan semua isu yang berkaitan Covid- 19 menerusi perbincangan berstruktur, pemantauan serta tindakan secara lebih terperinci dan komprehensif.

Jawatankuasa Krisis UTeM ini dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Operasi (COO) UTeM, Masdzarif Mahat dan dianggotai oleh Pengarah Pusat Kesihatan UTeM, Pejabat Pengurusan dan Perhubungan Canselori (PPPC), Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Pejabat Pembangunan dan beberapa Pusat Tanggungjawab lain.

“Jawatankuasa Krisis UTeM ini juga sentiasa meneliti apa jua bentuk arahan semasa daripada kerajaan, kementerian dan agensi kerajaan yang berkaitan seterusnya arahan rasmi akan dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftar UTeM kepada seluruh warga universiti ini, katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, antara tindakan yang telah diambil UTeM adalah menangguhkan perjalanan rasmi atau persendirian ke luar negara di samping semua program dan aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai seperti sukan, latihan serta aktiviti yang melibatkan masyarakat dan pihak industri.- MalaysiaGazette