Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB)

KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menawarkan program bantuan kewangan merangkumi penangguhan sementara pembayaran balik pembiayaan (moratorium) sehingga 6 bulan.

Ia merupakan lanjutan daripada penjadualan dan penstrukturan semula pembiayaan kepada semua individu dan perniagaan yang terjejas seperti yang diumumkan terdahulu pada 11 Februari yang lalu.

Selain itu, bagi pelanggan perniagaan, PKS yang layak boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM1 juta untuk tempoh sehingga 5.5 tahun.

Ini termasuk moratorium pembiayaan pembayaran balik sehingga tempoh 6 bulan pada kadar pembiayaan yang berpatutan sebanyak 3.75% setahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, bank itu mengambil tindakan proaktif dalam membantu pelanggan dan perniagaan untuk menangani masalah kewangan mereka susulan peningkatan penularan Covid-19.

”Kami berharap pengembangan program ini akan membantu melegakan kebimbangan individu dan perniagaan terhadap komitmen bulanan kewangan mereka di sepanjang ketidaktentuan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam pada itu, Muazzam berkata, perkhidmatan Bank Islam tidak terjejas sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan
Pergerakan oleh kerajaan bermula 18 hingga 31 Mac 2020 dan bank beroperasi seperti biasa. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.