Dr. Adham Baba

PUTRAJAYA – Virus Covid-19 suka kepada tubuh manusia dan akan menggunakannya sebagai perumah untuk menggandakan diri mereka.

Itu jelas Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Adham Baba mengenai ciri dan sifat virus Covid-19 yang kini menjadi wabak terbaharu menyerang manusia.

“Sifat virus ini suka manusia, dia sayang manusia. Makhluk ini jadikan tubuh manusia sebagai tuan rumah dan menggunakan segala tenaga tuan rumah itu untuk mereka hidup dan gandakan diri mereka,” katanya dalam sidang media di ibu pejabatnya hari ini.

Bagaimanapun, Adham berkata virus itu akan lemah sekiranya badan manusia yang dijangkiti itu sihat dan mempunyai tahan imun yang tinggi.

“Tanpa rawatan lanjut oleh pihak berwajib kita mahu elak virus ini ditularkan kepada orang lain. Sekiranya badan orang itu sihat, virus ini takkan bertahan lama.

“Tapi jika mereka yang dijangkiti sekiranya ada penyakit lain iaitu kurang imuniti badan, makan makanan tambahan dan berkaitan kemoterapi dan penyakit kronik, ini yang kita ambil berat dan dirawat secara khusus dan secara cermat,” katanya lagi.

Semalam, satu kajian dibiayai kerajaan Amerika Syarikat yang diterbitkan mendedahkan wabak Covid-19 mampu bertahan di permukaan udara selama beberapa jam sahaja.

Saintis mendapati bahawa virus yang menyebabkan penyakit Covid-19 mempunyai tahap yang sama di luar tubuh seperti yang berlaku ketika Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).

Ini bermaksud transmisi yang lebih banyak di antara mereka yang tidak menampakkan simptom menjadikan pandemik ini kelihatan lebih serius berbanding SARS sekitar tahun 2002 hingga 2003. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast