Dr AIni Ideris

KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menyediakan bantuan makanan kepada pelajar secara percuma yang dihantar terus kepada pelajar di kolej secara bungkus dan edaran untuk pelajar kekal di kolej kediaman bagi mengurangkan risiko jangkitan wabak Covid-19.

Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata, sumbangan sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam menelan kos perbelanjaan sebanyak RM200,000 secara langsung membantu pelajar dari segi kewangan.

”Pihak universiti turut memberi barang keperluan diri secara percuma termasuk dengan bantuan hasil sumbangan para alumni dan pihak luar di Kafe Kolej Canselor UPM serta memindahkan pelajar kolej pinggiran ke dalam kampus utama bagi memudahkan pelajar mendapatkan perkhidmatan makanan dan bantuan susulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Aini, pelajar UPM yang tinggal diluar kampus boleh berhubung terus dengan MPP atau Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), UPM jika memerlukan bantuan.

Bagi pelajar antarabangsa, UPM menyediakan perkhidmatan kaunter visa dan pas dari jam 9 pagi hingga 12 tengahari bagi tujuan pengambilan balik pasport dan pertanyaan atas talian.

”UPM menyediakan kemudahan penginapan sementara di Rumah Tetamu kepada pelajar antarabangsa serta mengagihkan barangan asas untuk pelajar antarabangsa serta menyampaikan pelbagai hebahan terkini melalui media sosial dan ’Whatsapp Group’,” katanya.

Tambah beliau, UPM juga menyediakan kemudahan pengangkutan untuk pergerakan pelajar ke kedai di Taman Sri Serdang bagi urusan pembelian barang keperluan diri.

”Kami telah mengehadkan masa pembelian iaitu bermula dari jam 10 pagi dan 5 petang dengan kaedah pelajar digalakkan mewakilkan kepada rakan bagi membeli barangan keperluan,” katanya.

UPM mengambil langkah proaktif dengan membuka Bilik Gerakan yang beroperasi 24 jam sebagai pusat rujukan pelajar serta Felo akan bertugas secara bergilir di Bilik Mesyuarat Kolej Canselor, UPM sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Bagi pelajar UPM yang sedang menjalani home surveillance, Pusat Kesihatan Universti (PKU) akan sentiasa berhubung dengan pelajar untuk mendapatkan makluman status kesihatan mereka.

PKU beroperasi dari jam 8 pagi hingga 5 petang pada hari bekerja untuk memberi rawatan kepada pelajar yang memerlukan serta menyediakan kaunter saringan risiko yang beroperasi setiap hari.

Pelajar UPM diingatkan untuk tidak keluar daripada kampus demi kesihatan dan keselamatan dalam membendung jangkitan wabak Covid-19.- MalaysiaGazette