Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan bermula semalam hingga 31 Mac, 2020 dijangka memberi impak negatif jangka pendek terhadap jualan hartanah tempatan dan amanah pelaburan harta tanah (REIT) runcit, kata AmInvestment Bank.

Bank pelaburan itu menjangkakan jualan hartanah tempatan akan mencatat prestasi rendah berikutan kebanyakan pelabur berhasrat menangguhkan pelancaran baharu.

“Pada masa yang sama, mereka juga akan turut menilai situasi ekonomi sebelum memutuskan sama ada untuk menyemak semula sasaran jualan. Bagaimanapun, kami yakin adanya limpahan positif ke atas jualan hartanah tempatan susulan impak negatif ekonomi tempatan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Bank pelaburan itu berkata, ia menyemak semula unjuran pendapatan bagi sektor itu untuk mencerminkan impak tersebut.

“Kami yakin saham akan diniagakan kepada diskaun pada paras purata rendah 1998 dan 2008, kira-kira 0.5x. Untuk kekal berhati-hati, kami akan meningkatkan diskaun kami kepada nilai aset bersih direalisasikan (RNAV) di seluruh papan kepada 60 peratus berbanding 50 peratus.

“Bagaimanapun, sekiranya keadaan ekonomi dan jualan baharu pulih pada masa akan datang, kami akan menyelaraskan diskaun kami kepada RNAV, kepada 50 peratus semula,” kata AmInvestment Bank.

Menurut bank pelaburan itu, impak negatif  akan wujud kepada Pavilion REIT (PREIT) dan Sunway REIT (SREIT) di mana kebanyakan hartanah mereka melibatkan pusat beli-belah.

“Kami menjangkakan limpahan positif kepada ekonomi mungkin mengheret sentimen negatif yang seterusnya. Oleh itu, kami menyemak semula pendapatan tahun kewangan 2020 dan 2021 kepada lebih rendah iaitu masing-masing 15.8 peratus dan 15.5 peratus bagi PREIT dan masing-masing 13.0 peratus dan 13.4 peratus bagi SREIT,” katanya.

Secara keseluruhan, AmInvestment Bank mengunjurkan prospek bagi hartanah runcit akan kekal stabil bagi tempoh jangka panjang berikutan pusat beli-belah dan hotel akan mendapat manfaat daripada pakej rangsangan ekonomi 2020 dengan tawaran diskaun 15 peratus bagi bil elektrik bulanan selama enam bulan, mulai April hingga September 2020.

Pada masa yang sama, pusat beli-belah juga digalakkan menurunkan kadar sewaan kepada penyewa, manakala pihak hotel disaran menawarkan potongan harga kepada pelanggan. – MalaysiaGazette