Dr. Adham Baba

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan hari ini berkata kerajaan negeri Johor perlu mendapatkan kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negeri (MKN) terlebih dahulu sekiranya ingin membuat keputusan untuk membuka pintu masuk Johor-Singapura.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, kebenaran itu perlu diluluskan oleh MKN  kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bermula semalam sehingga 31 Mac ini.

“Kita telah buat keputusan dalam perintah ini bahawa tiada pergerakan keluar masuk dari negara ke negara.

“Sekiranya Johor ingin dikecualikan daripada perintah itu, ia perlu dibawa ke MKN,” katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di pejabatnya hari ini.

Semalam, kerajaan Negeri Johor berkata ia berharap dapat membuka semula sempadan dengan Singapura dalam masa beberapa hari akan datang.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata ini akan dilakukan dengan pemeriksaan kesihatan yang lebih ketat di kedua-dua belah sempadan. -MalaysiaGazette