MIT

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengeluarkan soalan-soalan lazim membabitkan kementerian itu susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 Mac hingga akhir bulan ini.

Soalan-soalan itu adalah seperti berikut:

1. Apakah industri kritikal / kilang yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP?
Hanya industri kritikal / kilang terpilih sahaja yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP, tertakluk kepada kelulusan MITI. Sila semak senarai produk yang dikategorikan sebagai keperluan / kritikal adalah seperti di Lampiran 1.

2. Adakah terdapat kelulusan / prosedur khas yang diperlukan untuk kilang beroperasi sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP?
Ya, syarikat mesti memohon kelulusan khas untuk meneruskan operasi kilang semasa PKP dengan menggunakan borang yang boleh dimuat turun di www.miti.gov.my dan diserahkan kembali kepada [email protected]. Syarikat yang diluluskan akan
diberi Surat Kelulusan oleh MITI untuk beroperasi, tertakluk kepada syarat-syarat yang dinyatakan di Lampiran 2.

3. Bolehkah syarikat yang menghasilkan produk-produk yang tidak tersenarai di Lampiran 1 membuat rayuan untuk beroperasi sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP?
Tidak. Hanya syarikat yang telah diluluskan sahaja dibenarkan untuk beroperasi, tertakluk kepada syarat-syarat yang dinyatakan. Langkah ini adalah penting untuk memastikan
keberkesanan PKP. Dalam situasi di mana mesin dan peralatan kilang perlu terus beroperasi atas sebab-sebab teknikal, kilang-kilang boleh meneruskan operasi mesin- mesin tersebut dengan pengawasan juruteknik yang minima. Permohonan bagi perkara ini boleh dikemukakan kepada MITI.


4. Bolehkah syarikat / kilang yang diluluskan beroperasi sepenuh masa sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP?
Tidak. Hanya produksi pembuatan yang perlu sahaja dibenarkan untuk beroperasi, tertakluk kepada syarat-syarat dinyatakan. Sebarang aktiviti yang tidak kritikal perlu diberhentikan sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP.

5. Bolehkah syarikat memohon pengesahan Perakuan Tempasal (Certificate of Origin – COO) sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP?
Boleh. Permohonan pengesahan COO masih boleh dilakukan di Tingkat 2, Menara MITI dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang. Sebarang pertanyaan lanjut mengenai COO boleh dihantar melalui e-mel kepada [email protected].

6. Bolehkah syarikat mengemukakan permohonan untuk mendapatkan Sijil Tempasal Berkeutamaan (Preferential Certificate of Origin – PCO) di bawah skim Perjanjian
Perdagangan Bebas (Free Trade Agreements – FTA)?
Boleh. Permohonan untuk PCO boleh dikemukakan seperti biasa melalui sistem ePCO  http://newepco.dagangnet.com/dnex/login/).

7. Bolehkah syarikat memohon e-Form D di bawah ASEAN Trade In Goods Agreement (ATIGA)? Bagaimana?
Boleh. Syarikat perlu klik di ruangan ASEAN Single Window (ASW) sewaktu membuat permohonan bagi memastikan e-Form D tersebut dapat dihantar secara elektronik melalui platform ASW ke negara pengimport. Sekiranya syarikat menghadapi sebarang masalah, sila e-mel kepada [email protected] dan [email protected].

 

 

8. Bolehkah syarikat memohon Lesen Import (Approved Permit – AP) sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP?
Boleh. Permohonan boleh dibuat seperti biasa secara atas talian melalui sistem ePermit (https://newepermit.dagangnet.com.my).
Sebarang pertanyaan lanjut boleh disalurkan melalui e-mel kepada [email protected].

9. Bolehkah syarikat memohon permit di bawah Akta Perdagangan Strategik (Strategic Trade Act – STA) sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP?
Boleh. Permohonan permit STA boleh dibuat seperti biasa secara atas talian melalui sistem ePermit
(https://newepermit.dagangnet.com.my). Sebarang pertanyaan lanjut boleh disalurkan melalui e-mel kepada [email protected].

10. Bolehkah syarikat memproses penghantaran produk ke/dari pasaran luar negara?
Boleh. Perkhidmatan logistik di Malaysia kekal beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP.

Catatan:
1. MITI dan Agensi akan terus beroperasi semasa PKP. Pemain industri dan syarikat boleh menghubungi MITI melalui:

• E-mel – [email protected]
• Kumpulan Facebook – MITI & Agensi Hotline
• Whatsapp + 6012-6072 750
2. Untuk sebarang perkara lain, sila rujuk kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) di talian hotline – 03-8888 2010. – MalaysiaGazette