Ayatollah Ali Khamenei

DUBAI – Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei akan memberi pengampunan kepada 10,000 banduan termasuk tahanan politik sempena tahun baharu negara itu pada Jumaat.

“Mereka yang bakal diampunkan tidak akan kembali ke penjara..hampir separuh daripada tahanan yang terlibat dalamĀ  keselamatan juga akan dibebaskan,” kata jurucakap Gholamhossein Esmaili semalam.

Esmaili berkata, pada masa ini Iran telah membebaskan 85,000 orang banduan dari penjara termasuk tahanan politik akibat penularan Covid-19.

“Satu jumlah besar banduan di penjara yang dibebaskan buat sementara waktu ini juga tidak perlu kembali semula ke penjara selepas pengampunan itu,’ kata Esmaili.

Namun, dia tidak mengesahkan sama ada pengampunan itu turut melibatkan pekerja bantuan British di Iran, Nazanin Zaghari-Ratcliffe yang dibebaskan pada Selasa untuk tempoh dua minggu sahaja.

Iran berkata, jumlah banduan dan tahanannya adalah seramai 189,500 orang ancaman Covid-19 menyebabkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mendesak Iran membebaskan banduan termasuk tahanan politik mengelak lambakan banduan yang boleh mengundang risiko penyebaran virus.

Washington juga memberi amaran bahawa Iran perlu bertanggungjawab jika berlaku kematian dalam kalangan rakyatnya ketika mereka dalam tahanan. -MalaysiaGazette