Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sektor perladangan dan komoditi khususnya pekebun kecil sawit dan getah diberi kelonggaran daripada Perintah Kawalan Pergerakan yang telah dikuatkuasakan dari 18 hingga 31 Mac ini.

Langkah itu kerana Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi sedar perintah tersebut akan memberi implikasi yang besar kepada sektor berkenaan yang menyumbang kepada rantaian bekalan berkaitan penyediaan perkhidmatan seperti pembekalan minyak masak dan pembekalan peralatan perubatan seperti sarung tangan dan kateter.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kelonggaran yang diberikan termasuk membenarkan penuaian buah tandan segar sawit oleh syarikat perladangan dan pekebun kecil, membenarkan pemprosesan buah tandan segar dilaksanakan oleh kilang-kilang sawit.

Selain daripada itu, membenarkan pemprosesan minyak sawit mentah di kilang penapis untuk pengeluaran minyak masak bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan.

“Kementerian turut membenarkan aktiviti penorehan getah bagi tujuan pembekalan bahan mentah untuk penghasilan produk peralatan perubatan seperti sarung tangan dan katerer dan membenarkan aktiviti bagi sektor perkayuan beroperasi untuk memenuhi kontrak sedia ada yang telah dimeterai,” kata Khairuddin lagi.

Langkah itu dibuat setelah mendapat panduan umum Kabinet yang bermesyuarat pada pagi ini serta pengesahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dalam pada itu, kementerian turut menasihatkan semua pihak yang terlibat hendaklah memastikan segala langkah pencegahan dan pengawalan penularan wabak Covid-19 dipatuhi termasuk meminimumkan tenaga kerja dan pergerakan pekerja dengan menjarakkan sentuhan fizikal.

Pekerja juga dikehendaki pulang segera ke rumah atau penempatan setelah selesai bekerja. – MalaysiaGazette