Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed menasihati orang ramai untuk pulang semasa melakukan sekatan jalan raya pada OPS Covid-19 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh Perdanan Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Jalan Ampang, Ampang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 19 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Polis Selangor menyedari cabaran besar dihadapi pihaknya apabila sekumpulan besar orang ramai mulai pulang ke Lembah Klang selepas tamat tempoh dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan tamat.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Datuk Arjunaidi Mohamed mengakui cabaran besar menanti pihak berkuasa apabila kumpulan besar itu pulang dan kini pihaknya sedang berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Itu memang cabaran besar dan kita akan membincangkan bagaimana hendak menguruskan mereka.

“Itu bukan pergerakan yang berlaku begitu sahaja (malam sebelum penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan) tetapi penuh serius. Kita terpaksa menyusun semula perancangan polis bagaimana hendak menguruskan mereka nanti apabila kembali semula ke Lembah Klang,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui bersama Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff memantau sekatan jalan raya pasukan polis di sekitar Ampang Jaya malam ini.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed bercakap kepada media selepas melakukan sekatan jalan raya pada OPS Covid-19 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh Perdanan Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Jalan Ampang, Ampang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 19 MAC 2020.

Selain itu, Arjunaidi juga kesal kerana masih ada orang ramai yang beranggapan mereka selamat dan tidak akan dijangkiti pandemik Covid-19 sekiranya keluar bersama keluarga dalam satu kereta.

Menurutnya, ia adalah tanggapan yang salah dan boleh membahayakan diri dan ahli keluarga mereka kepada risiko jangkitan.

Katanya, mereka masih tidak memahami tahap keseriusan pandemik itu dan keseriusan polis dan kerajaan yang mahu menyekat menerusi Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac ini.

“Cuma ada satu kereta dinaiki satu keluarga ramai, dia mungkin menganggap bersama famili tidak bermasalah tetapi dia lupa akan risiko yang menanti kerana bersama mereka ada anak kecil juga.

“Ada alasan yang dia bagi keluar dengan keluarga, maknanya dia belum faham yang mana dia rasa keluar bersama keluarga dalam satu kereta tak salah..kerana dia ingat bukannya keluar dengan orang lain.

“Tapi risiko tinggi boleh menyebabkan ahli keluarga didedahkan kepada peluang jangkitan, dan kalau dia pergi jumpa ibu bapa di sana, lagi bahaya sekiranya ia berjangkit dari sana,” katanya.

Arjunaidi berkata, ada mereka yang ditahan polis memberi alasan mereka keluar kerana alasan mahu mencuci pakaian dan ada yang mahu makan di kedai mamak.

Menurutnya dua perkara berkenaan seharusnya dielakkan kerana terdedah kepada segala kemungkinan yang tidak mahu dibawa kepada keadaan kritikal dan usaha kerajaan menyekat penularan akan menjadi sia-sia sahaja.

Dalam pada itu, beliau juga mengakui ada perkembangan positif apabila semakin ramai mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.

“Mereka adalah mula faham tujuan kerajaan dan polis meminta mengehadkan pergerakan di luar rumah. Pun begitu, polis masih komited untuk menyedarkan mereka bahawa tindakan mereka jika melanggar arahan bukan hanya membahayakan diri tetapi juga orang lain.

“Kami yakin peratusan yang mematuhi perintah kerajaan akan bertambah selepas ini khususnya di negeri Selangor selepas ini,” ujarnya.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. saya mencadangkan kru malaysiagazatte untuk ikot sama angota keselamatan pdrm ipd usj 8 subang jaya dapat membuat live, dengar kata pihak keselamatan ipd usj 8 mereka nak buat operasi pada 20 march mulai jam 9:00am tujuan operasi pada org awam yang masih degil & majikan yang masih beroperasi walaupon tiada kepentingan dibenarkan terutama satu syarikat deb kolection agensi & casino mini yg terang2an langgar perintah majlis keselamatan MKN. banyak aduan telah di buat tp masih beroperasi wlupon majlis perbandaran mpsj telah di arahkan tutop tp masih berdegil, samada pihak polis akan lakukan pendakwaan akta polis 1967 yang mewajibkan pekerja beradik di rumah. sy percaya di luar sana ramai jugak yg nak tengok live malaysia gazettet di area subang terutama ipd yg handle kes kuil india seafied maha maraman tahun lepas kn.

Comments are closed.