Petugas Amal Team, Abdul Rahman Karim menggunakan debu tayammum ketika melakukan demonstrasi memandikan jenazah pesakit wabak Covid-19 di Surau Nur Al Ehsan Kajang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 19 MAC 2020

KAJANG – Kaedah menguruskan jenazah Covid-19 sama sekali berbeza dengan mayat pesakit HIV/AIDS kerana untuk mereka yang dijangkiti virus yang dipercayai berasal dari Wuhan ini, pengendali hanya boleh menggunakan prosedur tayammum dan ia cuma dibenarkan dibuat di atas permukaan beg jenazah atau pembalut plastik yang membaluti tubuh si mati.

Menurut petugas Amal Team, Abdul Rahman Karim, tanggapan masyarakat Islam kononnya mayat mereka yang dijangkiti virus Covid-19 perlu diuruskan ‘sama’ seperti mayat pesakit yang membawa virus seperti itu adalah tidak tepat sama sekali.

Beliau yang berpengalaman memandikan mayat pesakit-pesakit yang dijangkiti penyakit berjangkit berkata, mayat pesakit HIV/AIDS masih boleh dimandikan dengan air yang dicampurkan dengan bahan tertentu tetapi tidak dengan jenazah mereka yang dijangkiti virus Covid-19.

Petugas Amal Team, Abdul Rahman Karim menggunakan debu tayammum ketika melakukan demonstrasi memandikan jenazah pesakit wabak Covid-19 di Surau Nur Al Ehsan Kajang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 19 MAC 2020

“Senang cerita macam nilah, mayat yang ada virus Covid-19 perlu diuruskan sama seperti mereka yang ada virus Ebola. Untuk itu, bagi orang Islam kita perlu menggunakan prosedur tayammum dan ia mesti dilakukan HANYA di atas permukaan beg mayat atau pembalut plastik yang membaluti mayat tersebut.

“Ia berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa yang telah diputuskan sebelum ini,” katanya pada Malaysia Gazette di sini hari ini.

Menerusi prosedur tayammum, kata Abdul Rahman, pengendali perlu menekapkan atau menepuk debu dengan tangan, niat, kemudian menyapukan debu tadi ke bahagian muka dan kedua tangan jenazah tersebut.

Selepas itu, katanya, mayat perlu segera dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.

Petugas Amal Team, Abdul Rahman Karim menggunakan debu tayammum ketika melakukan demonstrasi memandikan jenazah pesakit wabak Covid-19 di Surau Nur Al Ehsan Kajang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 19 MAC 2020

Mengulas lanjut, kata Abdul Rahman, pihaknya sendiri tak pernah mempunyai pengalaman menguruskan jenazah yang ada virus Covid-19 mahupun Ebola sebab virus seperti itu tidak pernah menjangkiti rakyat Malaysia sebelum ini.

Namun begitu, katanya, pihaknya sudah mendapat panduan bagaimana untuk mengendalikan jenazah sedemikian berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Amal Team merupakan sebuah pertubuhan yang memandi, mengkafan dan menghantar jenazah orang Islam.

Bagi keluarga yang tidak mempunyai keupayaan dari segi kewangan, Amal Team boleh melakukan perkhidmatan tersebut secara percuma dengan tidak mengenakan sebarang bayaran

Mereka beroperasi 24 jam dan boleh dihubungi di talian 012-2493378 (Zulhairi) – Malaysia Gazette