Polis menafikan dakwaan kononnya seorang lelaki yang ditemukan dalam keadaan tertiarap di sebuah stesen minyak di Batu Caves dekat sini, hari ini, dijangkiti COVID-19.

KUALA LUMPUR – Polis menafikan dakwaan kononnya seorang lelaki yang ditemukan dalam keadaan tertiarap di sebuah stesen minyak di Batu Caves dekat sini, hari ini, dijangkiti COVID-19.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata siasatan awal mendapati, lelaki berkenaan terjatuh daripada motosikalnya dan berada dalam keadaan tertiarap kerana mabuk.

“Ada bau arak pada badan lelaki itu dan beliau mengalami kecederaan di bahagian lutut kerana terjatuh. Lelaki berkenaan kemudiannya dibawa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata pihaknya sedang mengesan individu yang menyebarkan rakaman video berdurasi 15 saat di media sosial dan mendakwa lelaki itu berada dalam keadaan tertiarap kerana COVID-19.

“Orang ramai diingatkan untuk tidak menyebarkan berita yang tidak dipastikan kesahihannya,” katanya.

Semalam, Majlis Keselamatan Negara dalam kenyataan meminta orang ramai agar tidak berkongsi atau menyebarkan maklumat palsu berkenaan.

“Harus diingat mana-mana individu yang didapati menyebarkan berita palsu boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” menurut kenyataan itu.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast