Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kini menjalani kuarantin selama 14 hari di kediamannya.

Beliau berbuat demikian selepas bergambar dengan seseorang yang kemudiannya disahkan positif COvid-19.

Berkongsi pengalamannya menerusi satu klip video yang disiarkan Buletin Utama TV3, Dr Mahathir berkata, beliau patuh dengan apa yang dilakukannya itu kerana ia amat penting untuk menangani masalah jangkitan virus itu.

Katanya, arahan kuarantin 14 hari itu juga selaras dengan ajaran agama Islam yang menuntut umatnya berusaha sebelum doa dan solat hajat yang dilakukan dimakbulkan Allah.

“Saya patuh kerana ia amat penting dalam menangani masalah ini. Kita berdisiplin, sanggup berkurung di rumah selama 14 hari.

“Ini pengalaman saya sekarang ini terkurung di rumah. Tak boleh keluar, tak boleh jumpa, salam orang dan macam-macam. Tetapi Alhamdulilah tak begitu berat bagi saya,” katanya dalam klip video tersebut.

Bekas Perdana Menteri itu turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya berjaga-jaga dan mematuhi arahan kerajaan yang mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan dan juga segera melakukan saringan jika diminta berbuat demikian.

Kepada kumpulan rakyat yang pulang ke kampung, Dr Mahathir mengingatkan supaya mereka menjaga diri fan mengelak daripada bersalaman selain berusaha mengasingkan diri daripada orang lain.

Langkah itu, katanya, penting untuk mengelak virus Covid-19 menular ke kampung-kampung pula.

Sebolehnya, Dr Mahathir berkata, tidak perlu bagi warga Kuala Lumpur untuk pulang ke kampung sebaliknya tinggalkan di ibu negara ini. – MalaysiaGazette