Halangan laluan dipasang di jalan-jalan raya di Wuhan bagi menyekat perjalanan penduduk. foto Agensi

SHANGHAI – Jangkitan koronavirus China dari luar negara mencatatkan rekod harian baru manakala pengembara yang dijangkiti mencapai angka yang tidak pernah direkodkan dari wilayah-wilayah China.

Peningkatan kes itu memberi tekanan kepada pihak berkuasa untuk mengetatkan lagi peraturan sedia ada dan protokol kesihatan awam yang memang sudah berada pada tahap tinggi.

China telah memperhebat langkah-langkah mengekang jangkitan koronavirus dari luar negara kerana menyedari pergerakan pelancong mungkin mencetuskan gelombang kedua jangkitan.

Wabak Covid-19 di China berjaya dikawal dengan perintah ketat yang tidak membenarkan orang ramai keluar dari rumah.

China merekodkan 39 kes yang baru disahkan pada hari Khamis, kata Suruhanjaya Kesihatan Negara – kesemuanya adalah kes import.

Tiada kes-kes tempatan direkodkan – untuk hari kedua berturut-turut.

Kes jangkitan baru itu dikesan sebanyak 14 di Guangdong, Shanghai (8) dan Beijing (6), menurut suruhanjaya itu pada hari Jumaat.

Hab pengangkutan seperti di Shanghai, Guangdong, termasuk Shenzhen, merekodkan kes membabitkan pengembara-pengembara yang dijangkiti.

Tetapi pada hari Khamis, kes turut dilaporkan di Tianjin, Liaoning, Heilongjiang, Shandong dan Gansu di sebelah utara, selain Zhejiang, Fujian, Guangxi dan Sichuan.

Sehingga kini jumlah kes jangkitan import Covid-19 disah sebanyak 228.

Kes-kes jangkitan dibawa oleh rakyat China yang baru pulang dari luar negara.

Wuhan, ibu kota Hubei yang menjadi pusat meletusnya koronavirus itu menyaksikan sifar kes baru, untuk hari kedua.

Dengan ini, jumlah keseluruhan kes di China sebanyak 80,967. – MalaysiaGazette