Syahira Idris berkongsi foto bersama bapanya, Allahyarham Idris Atan yang meninggal dunia petang tadi selepas dijangkiti virus Covid-19. - foto Twitter Syahira

KUALA LUMPUR – “Rehatlah ayah. No one can replace you. Terima kasih sebab jadi ayah yang baik dan suami yang baik untuk umi.”

Kata-kata itu adalah luahan rasa seorang gadis terhadap bapanya Idris Atan yang meninggal dunia petang tadi kerana dijangkiti virus Covid-19.

Allahyarham meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur selepas dimasukkan ke hospital itu pada 18 Mac lalu.

Gadis bernama Syahira itu berkongsi berita sedih itu di laman Twitter. Lebih menyedihkan, gadis itu bersama kakaknya juga disahkan positif Covid-19.

Dengan berat hati, ayah saya Idris Bin Atan telahpun meninggal dunia. Doakan jenazah ayah dicucuri rahmat. Doktor kata ayah pergi dalam keadaan tenang sangat. Terima kasih yang mendoakan ayah selama ni. Hanya Allah saja yang dapat membalas jasa kalian,” tulis Syahira.

Menerusi bebenang ciapannya, Syahira menulis, beliau dan kakaknya tidak dapat menguruskan jenazah kerana mereka tidak dibenarkan keluar dari hospital.

“Hanya doa di kejauhan. Adik akan berada di Bahagian Forensik Hospital Lega bila tahu ayah pergi dalam keadaan yang tenang sangat. Alhamdulillah Ya Allah,” katanya.

Mengikut maklumat Kementerian Kesihatan, Allahyarham bapa Syahira berusia 58 tahun mempunyai sejarah perjalanan ke Vietnam dan kontak dengan kes positif Covid-19 dari kluster tabligh.

Beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac lalu setelah mengalami gejala demam, batuk dan sakit tekak selama seminggu.

Keadaan kesihatan beliau kemudiannya merosot sehingga memerlukan bantuan pernafasan pada keesokan harinya.

Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 3.22 petang hari ini (21 Mac 2020).

Berita kematian tersebut turut dikongsi pengacara Aznil Nawawi di laman Instagram. Aznil turut memuatnaik foto yang sama dan berkongsi kesedihan di atas kehilangan sahabatnya itu.

“Dukacita dimaklumkan sahabat #aknil Idris Bin tan telah kembali ke Rahmatullah sekitar jam 3.30 petang tadi,” tulis Aznil yang juga telah berkongsi kisah penderitaan Allahyarham berhadapan serangan virus Covid-19 di akaun Instagramnya semalam.

Hari ini sebanyak lima kes kematian akibat Covid-19 direkodkan menjadikan keseluruhan lapan kematian di Malaysia.

Al-Fatihah – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bagi kes yg melanggar arahan kerajaan, tidak jujur pasal contact covic19, menjangkiti petugas2 polis, askar, nurse, doktor dll pula , minta peguam2 hulurkn bantuan sama, habis kisah covic19 saman dia orag ni cukup2 atas kesulitn akibat tindakn tak bertanggung jawab, kurang ajar dan bodoh melampau.

Comments are closed.