Datuk Iskandar Abdul Samad
Iskandar Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Pemimpin bekas perajurit tidak sewajarnya mempersoalkan secara terbuka kuasa Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengerahkan tentera bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Bendahari Pas Pusat, Datuk Iskandar Abdul Samad menegaskan, tindakan seperti itu tidak membantu kerajaan malah boleh menghakis kepercayaan rakyat kepada pemimpin negara.

“Masanya adalah untuk semua pihak sama-sama bekerjasama memastikan keadaan pulih seperti biasa dan kegusaran rakyat dapat diredakan.

“Patriot terdiri daripada mereka yang pernah berkhidmat di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan sudah tentu komen seperti ini boleh menyebabkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan menangani masalah yang kita hadapi terhakis.

“Sekiranya rakyat hilang keyakinan terhadap kemampuan kerajaan maka sudah tentu rakyat akan menjadi panik dan keadaan akan menjadi tidak terkawal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan bahawa Presiden Patriot, Brig Jen (Bersara) Datuk Mohamed Arshad Raji menyifatkan keputusan yang dibuat oleh Menteri Pertahanan untuk mengerah tentera bagi membantu pihak polis menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah tergesa-gesa dan pra-matang.

Menurut Mohamad Arshad, ia seolah-olah Menteri Pertahanan terlalu berminat mengerah anggota tentera, bercanggah dengan kenyataan awal oleh Panglima Angkatan Tentera bahawa tentera tidak akan dikerah untuk PKP.

Iskandar juga melahirkan kebimbangan dengan tindakan Patriot boleh mengundang panik dalam kalangan rakyat, sekaligus mengakibatkan PKP terus tidak dipatuhi dan arahan duduk di rumah tidak diendahkan.

“Kemungkinan setiap arahan kerajaan akan dipertikaikan dan tidak akan dipatuhi oleh rakyat dan ini amat berbahaya. Di dalam keadaan sekarang sebarang perbezaan perlu diketepikan demi kebaikan rakyat.

“Rakyat menghargai keprihatinan Patriot tetapi saya yakin Patriot mempunyai saluran terus kepada Menteri Pertahanan dan sebarang cadangan atau pandangan boleh dikemukakan terus kepada beliau,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Polis semua dah penat siang malam pastikan rakyat sentiasa duduk rumah, apa salah minta tentera pula untuk membantu, lepas ini tiada lah masyarakat tuduh tentera makan tidur sahaja, kalau kita boleh hantar tentera untuk bantu UN negara-negara bergolak, tak akan lah untuk negara sendiri tak nak bantu. Raja Agong pun sudah menyeru rakyat untuk duduk dirumah, dimana kesetian tentera kepada raja dan negara?

  2. Mcm Seniman P Ramlee cakapnlah,… ‘dah tua pun bodoh’… , lau rasa diri lebih pandai dr menteri apa lg nxt round bertanding pilihanraya.. ckp org pra-matang, sendiri dah tua tak matang2.

Comments are closed.