Plaza tol NPE.

KUALA LUMPUR – Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan sejak Rabu lalu menyebabkan premis dan kawasan awam ditutup sementara sehingga 31 Mac termasuk lorong tambah nilai gagi pengguna lebuh raya.

Kemudahan tambah nilai di Pusat Khidmat Pelanggan dan lorong tambah nilai di semua plaza tol sistem tertutup dan sistem terbuka di lebuh raya juga ditutup.

Keadaan itu umpama rezeki bagi segelintir insan yang mengambil kesempatan menawarkan khidmat ‘runner’ kepada pemandu yang tidak mempunyai baki mencukupi dalam kad Touch ‘n Go.

Itu yang dialami oleh penulis apabila kehabisan nilai dalam kad Touch ‘n Go ketika berada di Lebuhraya Baru Pantai (NPE) ke arah Pantai Dalam.

Belum sempat berfikir siapa yang harus dihubungi untuk membantu menambah nilai kad, tiba-tiba seorang lelaki dalam lingkungan akhir 20-an mengetuk cermin kereta.

Lelaki tersebut mengaku dirinya sebagai ‘runner’ kemudian mempelawa untuk membantu menambah jumlah nilai kad dengan bayaran perkhidmatan sebanyak RM15.

Kata lelaki itu, sememangnya tidak ada cara lain kerana tidak ada kakitangan atau pegawai NPE akan tampil membantu kerana ianya telah ditutup sehingga hujung bulan ini.

“Kalau kamu mahu, saya boleh tolong. Saya akan gunakan motorsikal saya ini dan pergi tolong tambah nilai kamu, apa sahaja jumlah kamu hendak.

“Kamu boleh tunggu di tepi jalan ini sehingga saya sampai, jika ada sesiapa tegur kata sahaja tunggu kawan. Ada masalah dengan kad Touch ‘n Go.

“Jangan risau, saya tidak lari ke mana-mana. Kamu bolehlah bayar saya lepas saya balik pulangkan kad kamu. Jumlah perkhidmatan ini sebanyak RM15,” katanya lancar seolah-olah telah biasa dengan kerja yang dilakukannya itu.

Lelaki yang menawarkan khidmat tambah nilai kad Touch ‘n Go dengan upah RM15.

Oleh kerana tidak ada pilihan, penulis menyerahkan RM10 untuk menambah nilai kad dan 10 minit selepas itu dia muncul semula dengan kad yang telah ditambah nilai, maka upah RM15 pun bertukar tangan.

Lelaki itu juga kelihatan bersahaja tidak memakai penutup hidung dan mulut.

Ditanya adakah dia tidak takut dengan penularan Covid-19, lelaki itu ketawa sambil menggelengkan kepalanya.

Pengajaran untuk penulis, pastikan kad Touch ‘n Go sentiasa mempunyai nilai mencukup dan seperkara lagi ada manusia yang sememangny sentiasa bijak menggunakan apa sahaja kesempatan. – MalaysiaGazette