KUALA LUMPUR – Pejabat Kesihatan Daerah Kulim meminta penumpang Bas Ekspress Jasmine yang melakukan perjalanan antara Seremban, Negeri Sembilan ke Sungai Petani, Kedah pada Isnin lalu (16 Mac) menghubungi bilik gerakannya dengan segera.

Walaupun tidak menyatakan punca mengapa penumpang bas ekspres tersebut perlu membuat demikian namun ia dipercayai mempunyai hubungan dengan Covid-19.

Kenyataan yang disiarkan menerusi laman Facebook dengan tajuk ‘Covid Alert’ (Waspada Covid), bas dengan nombor plat PLQ9689 itu bertolak dari Terminal 1 Seremban pada pukul 8.30 malam hari tersebut.

Dalam perjalanannya ke Sungai Petani, bas tersebut melalui beberapa bandar iaitu Shah Alam, Ipoh, Kamunting, Bagan Serai, Parit Buntar, Nibong Tebal, Kulim dan Butterworth.

Menurutnya, semua penumpang yang menaiki bas tersebut diminta menghubungi Bilik Gerakan Pejabat Kesihatan Daerah Kulim di talian 04 – 4949121. – MalaysiaGazette