KUALA LUMPUR – Mungkin kerana tidak biasa membeli bahan mentah, terdapat kemungkinan para suami akan tersilap membeli barang yang dipesan isteri untuk memasak.

Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang hanya membenarkan seorang sahaja, iaitu ketua keluarga, keluar untuk membeli barangan keperluan dan ubat-ubatan, Jabatan Penerangan Sabah mengambil inisiatif menyiarkan infografik ‘Panduan Membeli Barang Asas Dapur Bagi Kaum Lelaki Sepanjang Tempoh PKP’.

Antara barangan itu ialah bawang merah, bawang putih, halia, daun sup, daun bawang, lengkuas, cili, limau, garam dan serbuk perasa.

“Kami memahami kerunsingan anda.

“Kaum isteri, kongsikan gambar ini kepada suami tersayang sebagai rujukan.

“Isteri Gembira, Keluarga Bahagia,” menurut infografik itu.

Bagaimanapun, panduan itu mendapat reaksi berbeza daripada warganet .

Pengguna Twitter, black dragon berkata: “oklah juga ni sebagai panduan manalah tau ada yang dah lama tak ke pasar membeli sayur..boleh dijadikan rujukan agar tak silap beli,”

“Ini lucu, Bagaimanapun, mengaku, ramai lelaki perlu panduan ini. Yang selalu beli barang dapur dah tahu dah (This is funny. But, admittedly, ramai lelaki need this guide. Yg selalu beli groceries dah tau dah),” ujar Rejaie Arbee # GirlsNotBrides.

Taqiyuddin Bakir berkata: “Aku selalu confuse bawang merah, bawang besar, dan bawang holland. Bila mintak bawang besar 50/50 chance akan dapat bawang holland. Bila mintak bawang merah 50/50 chance akan dapat bawang besar. Tweet ni pun aku tak pasti bawang tu betul ke idak,”.

putweeeee menyatakan: “Bukan lelaki je. Perempuan pun. Tadi ada perempuan 20an tak boleh beza daun ketumbar & daun sup. Sampai kaunter dia tanya ni daun sup kan.
Takpe sis.. saya awal2 nak mula belajar beli brg dapur pun x reti nak beza daun ketumbar & daun sup,”.

Namun terdapat juga warganet yang berpendapat panduan seperti itu tidak diperlukan, antaranya bravoalphasierraindia tango yang menyatakan: “ya tuhan. punya lah tak senonoh kome nih sampai jabatan penerangan negeri nak kena bagi guide macam nih.

“Bawang merah, lengkuas dengan halia pun tak kenal. Mengelepetlah dekat dalam market tu,” kata Amir Zakaria. – MalaysiaGazette