PUTRAJAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menafikan dakwaan bahawa pihaknya tidak melepaskan topeng muka yang diimport seperti dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan hari ini.

JKDM dalam kenyataan hari ini berkata, barangan tersebut sebenarnya tidak diikrar oleh ejen pengimport menyebabkan pihaknya tidak dapat membuat pelepasan.

“JKDM telah menyiasat perkara ini dan didapati ejen pengimport barang tersebut tidak menerima apa-apa arahan daripada pengimport untuk membuat pengikraran.

“Untuk makluman, tanpa pengikraran, JKDM tidak dapat membuat pelepasan ke atas barang tersebut. Pengikraran perlu dibuat terlebih dahulu oleh ejen pengimport bagi mengetahui kandungan barang yang hendak dilepaskan,” jelasnya.

JKDM berkata, pihaknya telah menghubungi dan memaklumkan kepada ejen  pengimport berhubung perkara itu dan difahamkan pihak mereka akan menguruskan pengikraran dalam masa terdekat.

Menurut laporan tersebut, sebanyak 10,000 keping topeng muka dari luar negara masih tidak dilepaskan JKDM walaupun telah tiba di negara ini Jumaat lepas. – MalaysiaGazette