Proses saringan sebahagian peserta ijtimak tabligh di Masjid Seri Petaling.

KUALA LUMPUR – Data rasmi Masjid Seri Petaling menunjukkan bahawa kehadiran tertinggi peserta ijtimak (perjumpaan) tabligh yang diadakan pada 29 Februari lalu di masjid itu adalah 12,500 orang dan bukannya 16,000 orang seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Menurut kenyataan Ahli Mesyuarat Markaz Dakwah dan Tabligh Malaysia (Sri Petaling), Abdullah Cheong, daripada jumlah mereka yang hadir pada malam Sabtu itu, kira-kira 1,600 orang adalah tetamu luar negara dan hampir kesemuanya telah kembali ke negara masing-masing.

Katanya, ini bermakna jumlah kehadiran warga tempatan ialah kira-kira 11,000 orang yang meliputi peserta ijtimak iaitu peserta ijtimak walk-in pada malam Sabtu malam sahaja, mereka yang berkhidmat ketika ijtimak dan warganegara asing yang menetap di Malaysia seperti Rohingya, Myanmar dan Bangladesh.

Jelas kenyataan itu, rekod menunjukkan bilangan Rohingya yang hadir ialah kira-kira 200 orang dan rakan seusaha Myanmar pula berjumlah 150 orang.

“Inilah kehadiran tertinggi ketika ijtima’ kami berlangsung. Kiraan sekitar 12,500 orang ini bukanlah jumlah yang baru kami dapatkan, malah ini merupakan rutin Syukbah Pendataan untuk bertahun-tahun lamanya.

“Jumlah kehadiran yang banyak disebut ialah seramai sekitar 16,000 orang. Jumlah ini bukanlah datang daripada pihak kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Abdullah, berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setakat 19 Mac lalu, kira-kira 10,500 orang peserta ijtimak tersebut telah disaring.

Katanya, ini bermakna hanya kira-kira 500 orang lagi peserta tempatan yang belum disaring.

“Banyak laporan yang kami terima memberitakan bahawa ramai antara peserta ijtima’ telah pun pergi ke pejabat kesihatan daerah ataupun hospital berhampiran, terutamanya pada beberapa hari pertama, tetapi apabila didapati mereka tidak menunjukkan sebarang gejala, mereka telah diminta pulang ke rumah masing-masing telahpun dikuarantin untuk tempoh 14 hari,” katanya.

Namun ujarnya, pihaknya khuatir butiran mereka tidak  direkod sebelum mereka dihantar pulang.

Abdullah menegakan, pihaknya bersedia dan telah pun memberi komitmen penuh untuk membantu pihak berkuasa dalam menangani isu wabak yang sedang melanda negara.

“Baki yang belum disaring berjumlah sekitar 500 orang semuanya. Laporan KKM untuk 2 hari yang lepas belum lagi dikeluarkan.

“Kami jangka insyaAllah bilangan yang belum disaring ini akan menurun lagi, menuju kepada 100% pematuhan arahan pihak berkuasa,” katanya. – MalaysiaGazette