Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah menubuhkan satu platform khusus untuk orang ramai untuk berkongsi maklum balas bagi menstabil dan mengukuhkan ekonomi negara ketika negara sedang menghadapi pandemik Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, maklum balas yang dikemukakan itu akan diperinci untuk dijadikan input kepada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang diadakan pada setiap minggu.

“Mulai hari ini orang ramai dan sektor swasta dipelawa untuk berkongsi maklum balas dengan Sekretariat EAC melalui www.mea.gov.my/ms/ekonomikita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mustapa, platform khusus itu diwujudkan hasil mesyuarat pertama EAC pada 16 Mac lalu.

Kerajaan telah menubuhkan EAC yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memastikan pertumbuhan ekonomi domestik yang mampan serta meningkat keyakinan pelabur dari dalam dan luar negara. – MalaysiaGazette