Dr Mohammad Shatar Sabran

KUALA LUMPUR – Para penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tidak dibenarkan keluar dari rumah, termasuk mereka yang berada di kampung, kolej kediaman atau rumah sewa.

Malah, segala aktiviti pembelajaran dan pengajaran (PdP) perlu dibuat secara atas talian (online) bersama pensyarah.

Dalam situasi kritikal dan berbahaya sekarang, sistem MyGuru yang dibangunkan oleh UPSI perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pensyarah dan pelajar kerana apa yang penting PdP dilaksanakan dan tugasan dapat disiapkan.

Pensyarah juga perlu memanfaatkan sistem yang dibangunkan seperti memuatkan naik rakaman video dan terus berinteraksi dari rumah sahaja.

Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, Naib Canselor UPSI berkata, semua  pensyarah telah diberi latihan-latihan  berkaitan antaranya Massive Open Online Learning (MOOC), Open Educational Resources (OER), Flipped Classroom sejak 2018 bagi melengkapkan pensyarah untuk menjalankan sesi PdP secara atas talian.

”Memandangkan keadaan penularan Covid-19 semakin kritikal berikutan orang ramai tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pensyarah tidak dibenarkan menjalankan kuliah secara bersemuka pada semester ini, sebaliknya memanfaatkan ODL selain pensyarah menggunakan segala kreativiti mereka untuk berinteraksi  dengan pelajar walaupun berjauhan.

”Pensyarah dikehendaki menukar semua tugasan berbentuk  lapangan atau bersemuka sama ada individu atau berkumpulan kepada tugasan secara online sahaja yang lebih memudahkan mencari bahan kerana pelajar pasti  sukar  melaksanakannya pada semester ini berikutan pelaksanaan PKP dan situasi semasa yang semakin kritikal,” katanya dalam satu kenyataan. – MalaysiaGazette