Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib memberikan taklimat kepada anggota kem Rejimen 502 Askar Wataniah Kem Sungai Buloh tiba bagi membantu pihak Polis Diraja Malaysia dalam Ops Covid-19 susulan Perintah Kawalan Pergerakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 22 MAC 2020

SHAH ALAM – Polis daerah Shah Alam dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus mempertingkat sekatan jalan raya di sekitar bandaraya itu bagi memantau pergerakan orang ramai yang keluar ke tempat terbuka sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, seramai 30 anggota dan seorang pegawai dari Kem Rejimen 502 Askar Wataniah Kem Sungai Buloh ditugaskan bagi membantu Ibu Pejabat Polis (IPD) Shah Alam dalam melaksanakan arahan tersebut.

Menurut beliau, seramai 106 anggota dari IPD Shah Alam bersama anggota ATM akan menjalankan sekatan jalan raya sepanjang masa di kesemua laluan masuk di bandaraya tersebut.

“Antara lokasi sekatan jalan raya termasuklah di Persiaran Tengku Ampuan Seksyen 26, bekas tapak Tol Sungai Rasau di Lebuh Raya Persekutuan serta di Lebuh Raya Guthrie (bawah jejambat berdekatan NSTP),” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan taklimat kepada anggota ATM berhubung Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Baharudin berkata, jumlah pergerakan orang ramai di tempat terbuka sekitar bandaraya itu juga semakin berkurangan berbanding pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan.

Katanya lagi, kadar kepatuhan orang awam terhadap perintah yang berkuatkuasa bermula 18 hingga 31 Mac itu juga bertambah baik.

“Apa yang boleh saya rumuskan, pergerakan orang awam di Shah Alam ini telah pun berkurang. Hanya lima hingga 10 peratus sahaja yang masih dilihat keluar.

“Kita harap orang ramai faham dan tahu mengenai keseriusan serta bahaya virus Covid-19 ini,” katanya.

Jelas beliau lagi, anggota ATM akan mula digerakkan pada hari ini bagi membantu rondaan serta sekatan jalan raya di seluruh Shah Alam.