Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka diniagakan turun naik minggu depan seiring dengan mata wang negara pesat membangun lain memandangkan ekonomi global terus mengalami tekanan susulan kebimbangan terhadap COVID-19 terus mempengaruhi pasaran global.

Penganalisis Pasaran FXTM Han Tan berkata, pelabur global akan memantau petanda kelembapan ekonomi seterusnya yang disebabkan COVID-19 dan pada masa sama menunggu data Indeks Pengurus Pembelian, perbelanjaan runcit dan angka perdagangan luaran yang dijangka diumumkan minggu depan.

“Unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar setahun penuh yang disemak semula oleh Bank Negara Malaysia dipantau rapi, memandangkan para pelabur semakin bimbang mengenai kesan COVID-19 ke atas ekonomi domestik dan dunia, dengan Perintah Kawalan Pergerakan telah mengganggu aktiviti ekonomi di seluruh negara.

“Data indeks harga pengguna Malaysia bagi Februari dijangka pada 1.5 peratus, yang menunjukkan tekanan inflasi masih di tahap boleh urus. Langkah-langkah sokongan fiskal dan monetari yang telah dilaksanakan oleh penggubal dasar akhirnya harus membantu menampan asas-asas ekonomi Malaysia, apabila wabak Covid-19 memuncak dan tingkah laku tidak menentu pasaran berkurangan,” katanya.

Beliau berkata bagi minggu depan, keredaan tekanan pendanaan USD yang berterusan boleh mendorong USD/MYR menghampiri semula paras psikologi 4.30.

“Bagaimanapun, sekiranya kenaikan kecil dolar AS dan penghindaran risiko terus tidak berkurangan, ringgit boleh susut melepasi paras 4.40 berbanding dolar AS sekali lagi, kembali semula kepada paras yang tidak dilihat sejak suku pertama 2017,” katanya.

Setakat ini, Malaysia mencatatkan 1,030 kes COVID-19 dengan tiga kematian, dan menjadi yang ketiga tertinggi di Asia.

Dari segi minyak mentah, minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras global, berada pada US$34.52 setong sebelum merosot kepada US$28 setong pada Khamis.

Ia meningkat semula pada Jumaat kepada US$31.17 setong susulan gangguan pengeluaran di Iran berikutan penularan Covid-19.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS pada 4.3947/4012 daripada 4.2750/2800 pada Jumaat minggu lepas.

Pada Khamis, ia mencecah paras 4.40 sebelum naik sedikit pada Jumaat dengan disokong harga minyak mentah yang lebih tinggi.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, mata wang tempatan meningkat berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura pada 3.0303/0369 daripada 3.0360/0406 minggu lepas, dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.9811/9898 daripada 4.0228/0279.

Unit tempatan stabil berbanding euro kepada 4.7204/7303 daripada 4.7730/7790 minggu lepas dan menokok berbanding pound Britain kepada 5.1926/2042 daripada 5.3822/3902. – MalaysiaGazette