Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mendapati dua korban Covid-19 layak menerima faedah organisasi itu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, Perkeso berkata, korban ketiga Covid-19 yang merupakan bekas pekerja Sabah Port Sdn. Bhd. memenuhi syarat kelayakan di bawah Skim Keilatan Perkeso.

Jenazah lelaki berusia 58 tahun itu dikebumikan di Tawau, Sabah pada kira-kira jam 10 malam, 20 Mac lalu.

Manakala, mangsa ketujuh Covid-19, berusia 57 tahun, yang meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada 21 Mac lalu juga didapati memenuhi syarat kelayakan untuk menerima faedah Perkeso di bawah skim yang sama.

”Pihak Perkeso berjaya menghubungi waris mangsa tersebut tetapi ahli keluarga masih belum bersedia untuk berkongsi maklumat lanjut.

”Maklumat awal yang diperolehi adalah mangsa meninggalkan seorang balu dan semua anak-anak berusia lebih 21 tahun.

”Justeru, waris bagi kedua-dua mangsa layak menerima Faedah Pengurusan Mayat dan bayaran bulanan Pencen Penakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Penyampaian faedah akan hanya dilakukan selepas tamat tempoh kuarantin dan juga setelah ahli keluarga bersedia.

”Saya juga telah mengarahkan Perkeso supaya bersedia menyemak rekod mangsa Covid-19 bagi kelayakan Faedah Perkeso dari semasa ke semasa dan menyampaikan faedah seberapa segera kepada yang layak agar kebajikan keluarga dan tanggungan mereka terbela berikutan musibah ini,” tambah beliau. – MalaysiaGazette