Hilmi Ramli

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta memberi perhatian terhadap golongan yang tidak mempunyai simpanan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membantu mereka berhadapan situasi getir berikutan wabak COVID-19.

Ketua Pemuda, Dewan Pemuda Ikatan Kelantan, Hilmi Ramli bekata, golongan tersebut ialah buruh, nelayan dan petani.

Katanya, golongan petani berhadapan masalah untuk memasarkan hasil tanaman mereka kerana pasaran yang terhad akibat Perintah Kawalan Perjalanan (PKP) yang menyebabkan pasar pagi, pasar tani dan pasar borong terpaksa ditutup.

“Masalah yang sama juga dihadapi oleh nelayan. Hal ini semestinya memberi kesan besar terhadap mereka.

“Kami berharap agar pihak yang bertanggungjawab ke atas kutipan zakat agar dapat digunakan kutipan zakat tersebut bagi golongan asnaf dan mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Hilmi berkata, langkah yang diambil kerajaan melalui pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mampu melegakan banyak pihak yang terkesan dengan keadaan semasa.

Hari ini, kerajaan mengumumkan semua ahli KWSP yang berumur bawah 55 tahun boleh mengeluarkan simpanan Akaun 2, tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh 12 bulan.

Perkara itu diumumkan Muhyiddin dalam sidang media khas dalam usaha membantu meringankan beban rakyat yang kehilangan sumber pendapatan berikutan wabak COVID-19. – MalaysiaGazette