Datuk Ir. Kamarulzaman Zainal

KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menghentikan sementara beberapa perkhidmatan tren antara negeri dan bandar ekoran perkembangan terkini wabak CoVid-19, berkuatkuasa esok sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Kamarulzaman Zainal berkata, hanya dua perkhidmatan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan dua perkhidmatan KTM Antara Bandar akan beroperasi setiap hari, berbanding lapan kesemuanya sebelum ini.

Kata, perkhidmatan Ekspres Rakyat Timuran, Ekspres Selatan dan Shuttle Tebrau dihentikan sepenuhnya sehingga tamat tempoh perintah itu.

“Operasi KTM Komuter pula akan dikurangkan kepada 49 perkhidmatan sehari bagi sektor Lembah Klang dan utara” tambahnya.

Turut terjejas, perkhidmatan tren Skypark Link di antara Stesen Kuala Lumpur Sentral dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dikurangkan kepada empat larian sehari, berbanding lapan sebelum ini.

“Perkhidmatan beberapa tren masih perlu diteruskan mengambilkira keperluan khusus.

“Ini termasuk penghantaran bahan-bahan perubatan dan makanan serta pergerakan kakitangan pelbagai perkhidmatan penting yang terlibat dalam penguatkuasaan perintah ketika ini,” ujarnya.

Para penumpang boleh membuat pindaan tarikh perjalanan di kaunter atau pembatalan tiket menerusi laman sesawang www.ktmb.com.my.

Orang ramai digesa mendapatkan maklumat semasa operasi tren menerusi laman sesawang tersebut atau hubungi Pusat Panggilan KTMB di 0322671200. – MalaysiaGazette