Kelihatan keadaan lengang berikutan Perintah Kawalan Pergerakan pada hari keenam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Flat Sri Selangor, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 23 MAC 2020
Kelihatan keadaan lengang berikutan Perintah Kawalan Pergerakan pada hari keenam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Flat Sri Selangor, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 23 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Pengerusi Persatuan Penduduk Flat Sri Selangor, Zaimi Shamsuri mengakui situasi berbeza dirakamkan di kawasan perumahan itu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan pada Rabu lalu.

Memasuki hari keenam perintah itu, tinjauan MalaysiaGazette mendapati hanya beberapa penduduk yang dilihat keluar rumah berbanding hari pertama pelaksanaan larangan tersebut.

“Pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan, ramai yang masih ingkar, keluar rumah sesuka hati. Malah kita pun ada lapor kepada pihak polis dan kesan daripada itu kita nampak polis datang dan terus pergi kepada individu tersebut.

“Semalam ada sekumpulan remaja yang melepak di kawasan flat ini, kita tegur tapi mereka tidak endahkan. Kita lapor kepada polis, dan polis pantas membuat tinjauan. Masuk hari keenam ini sudah kurang orang yang lalu lalang di kawasan ini, hari pertama memang ramai. Waktu malam pun juga sudah kurang,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, hari ini.

Peniaga, Tajurus Yusof menjual lauk pauk hanya dengan sistem bawa pulang berikutan Perintah Kawalan Pergerakan pada hari keenam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Flat Sri Selangor, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 23 MAC 2020

Bagi seorang penduduk, Tajurus Yusof, 56, masyarakat di flat Sri Selangor perlu meneruskan amalan kebersihan yang optimim bagi mengelakkan virus Covid-19 menular ke kawasan ini.

Ujarnya, penduduk harus terus mematuhi larangan pergerakan dengan tidak berkumpul beramai-ramai di satu-satu kawasan.

“Walaupun kita tahu kawasan ini belum lagi ada jangkitan, tapi kena berjaga-jga juga. Saya akan tegur kalau ada mereka-mereka yang berkumpul lebih daripada tiga orang.

“Di kawasan perumahan Sri Selangor ini semua mengikut sekatan perjalanan ini, ada dua tiga orang yang masih enggan mengikuti arahan, tapi kita masih tegur.

Gelagat penghuni yang beristirehat di balkoni berikutan Perintah Kawalan Pergerakan pada hari keenam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Flat Sri Selangor, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 23 MAC 2020

Menurut seorang pekerja swasta, Nor Khairiah Sudar, 37, dirinya masih boleh bertahan dengan Perintah Kawalan Pergerakan itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, beliau terpaksa ke pejabat atas arahan majikannya untuk menguruskan perihal gaji pekerja syarikatnya.

Jelasnya lagi, beliau sering mengambil langkah berjaga-jaga dengan membersihkan dirinya dahulu sejurus tiba di kediamannya.

“Setakat ini boleh lagi berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan oleh kerajaan. Masuk hari keenam ini tidak ada apa-apa kesan lagi sebab bekalan makanan masih mencukupi.

“Cuma hari ini majikan minta saya masuk pejabat untuk uruskan tentang gaji pekerja. Majikan keluarkan surat arahkan saya untuk bekerja hari ini untuk uruskan gaji pekerja,” jelas Nor Khairiah.

Pekerja Landskap, Kanammah Perumal tetap menjalankan kerja-kerja pembersihan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan pada hari keenam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Flat Sri Selangor, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 23 MAC 2020

Disebalik perintah kawalan pergerakan itu, lensa MalaysiaGazette turut tertumpu kepada dua orang pekerja pembersihan di flat Sri Selangor.

Menurut P Kanammah, 59, majikanya ada memberikan pilihan samada untuk datang bekerja atau duduk dirumah dan menurut arahah kerajaan.

Bagaimanapun katanya, sekiranya beliau tidak keluar bekerja, siapa yang akan menyara keluarga dan anak-anaknya di rumah.

“Kalau tak kerja bagaimana nak dapat duit, majikan ada bagi surat untuk benarkan kita bekerja. Takut juga nanti berjangkit Covid-19, tapi nak buat macam mana. Kita kena kerja untuk sara keluarga.

“Saya ada anak kecil lagi, balik rumah saya mandi bersih-bersih dan baru jumpa anak,” jelas Kanammah.

Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Mac lalu mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa bermula pada 18 Mac 2020 sehingga 31 Mac depan.

Ia dilaksanakan kerajaan bertujuan bagi mengelakkan rakyat terdedah dengan jangkitan virus Covid-19. – MalaysiaGazette