Suasana tenang pada hari keenam Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 23 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Keadaan sekitar ibu negara khususnya di Bukit Bintang, tempat yang menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negeri lengang bagaikan ‘dilanggar garuda’.

Tinjauan Malaysia Gazette mendapati usaha polis mengadakan sekatan jalan raya dengan dibantu pasukan tentera ternyata mendatangkan impak besar kepada penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan.

Jalan Alor dan Changkat Bukit Bintang yang selalunya padat dengan pelancong yang gemarkan hiburan dan menikmati makanan ketika lewat malam kini sunyi sepi.

Suasana tenang pada hari keenam Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Jalan Alor, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 23 MAC 2020

Yang ada hanyalah seorang dua pengemis yang mundar mandir dan para pekerja pembersihan.

Menjelang awal pagi keadaan menjadi bertambah sunyi.

Suasana tenang pada hari keenam Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Jalan Alor, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 23 MAC 2020

Begitu juga di sekitar Chow Kit dan Jalan Raja Laut.

Jumlah gelandangan juga berkurangan secara mendadak berbanding hari-hari awal pelaksanaan perintah tersebut.

Ternampak juga kelibat seorang dua maknyah yang masih lagi ‘curi-curi’ mencari pelanggan di celah-celah bangunan, namun lari ‘tak cukup tanah’ bila ternampak kereta peronda yang berkawal.

Untuk rekod, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac lalu hingga 31 Mac ini di seluruh negara.

Perintah kawalan tersebut dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Ia bagi mencegah penularan baharu wabak Covid-19 yang dibimbangi akan menjangkiti lebih ramai rakyat jika tiada langkah drastik diambil.

Anggota polis dibantu oleh Angkatan Tentera Malaysia bersama menjalankan sekatan jalan raya semasa Ops Covid-19 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan wabak Covid-19 di tapak Tol Sungai Rasau, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 22 MAC 2020

Semalam juga menyaksikan penglibatan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diminta membantu pihak polis dalam menjayakan perintah kawalan pergerakan tersebut.

Setakat tengah hari semalam, terdapat 123 kes baru yang telah dilaporkan menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 1,306 kes.

Seramai 46 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah itu, sebanyak 22 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Jumlah kematian juga telah meningkat kepada 10 orang. – Malaysia Gazette

 

 

1 Komen

  1. Syabas kepada semua pentadbiran tsmy dan pasukan barisan . ghadapan. Saya i gin cadangankan supaya BERSATU tidak perlu pertandingan merebut jawatan pengerusi. Sebaliknya mencontohi paryj politik lain supaya pengerusi diberikan lantikan bertempoh.jawatanya ialah Pengerusi Tetap. Yang sekarang ni nampak sangat gila kuasa dan tamak. Tak usahlah Tun M ni jadi Pengerusi Bersatu sebab banyak wayang dan rasanya dia lagi kuat kleptokrasi disokong pula okeh ahli bersatu yang bidob dan dungu. Menyemak aje dia ni.

Comments are closed.