Bekas Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika keluar dari kediamannya di Bukit Segambut, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 27 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mencadangkan agar menteri Kabinet membuat rakaman sidang media dan mereka menyalurkannya kepada organisasi-organisasi berita bagi disiarkan.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, pelbagai aplikasi kini boleh digunakan bagi membolehkan wartawan-wartawan bertanya soalan-soalan dalam sidang akhbar atas talian itu.

Jelas Ahli Parlimen Pandan itu, video-video itu boleh juga dipaparkan di akaun media sosial kementerian atau menteri berkenaan selain kenyataan akhbar turut boleh dihantar kepada organisasi-organisasi berita.

“Covid-19 telah memberi kesan kepada kita semua dan kami benar-benar menghargai petugas-petugas barisan hadapan tanpa mengenal siang dan malam bagi memulihkan mereka yang dijangkiti dan memastikan kita semua selamat.

“Kita perlu memastikan supaya petugas-petugas barisan hadapan ini selamat dan ini termasuklah wartawan-wartawan kita yang tekun menyampaikan kepada kita berita-berita terbaharu yang antara lainnya diperolehi melalui sidang-sidang akhbar.

“Kami faham akan kemungkinan bekalan topeng muka dan sarung tangan yang tidak mencukupi pada waktu ini, bermakna kita perlu memikirkan cara-cara lain untuk memastikan wartawan-wartawan kita tidak terdedah kepada risiko jangkitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Azizah menambah, cadangan yang dikemukakan itu bagi membolehkan wartawan-wartawan dapat bertugas dari rumah tanpa perlu bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain dan dengan itu dapat mengurangkan risiko mereka terdedah kepada Covid-19.

“Betulkan yang biasa, biasakan yang betul. Sekarang kita berada dalam waktu krisis, oleh itu kita perlu mengambil berat antara satu sama lain.

“In-syaAllah kita akan dapat mengatasi krisis yang dihadapi,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Pemimpin kerajaan pengkhianat nasional ini kan mahu nampak bekerja utk rakyat.
    Bila nak pujuk mp pkr masuk pkn mereka boleh pula gunakan teknologi multimedia.

    Dulu bila kes anwar 2014, minta siaran lansung, depa kata kos.
    Bila ph kerajaan, najib minta siaran lansung juga.
    Jadi masa ni najib dah dalam kerajaan (khianat), bolehlah siarkan kesemua perbicaraan mahkamah, boleh guna live pakai hp pun.

    Kos pun tak lah terlalu tinggi.
    Uztad2 pun buat pengajian live sekarang.

    Cuma nak ketua hakim negara menilai sama ada perkara ini dibenarkan@tidak.

    Ini mgkin permintaan rakyat yg cintakan keadilan.
    Maklumlah, puak najib kata dizalimi.
    Sementara puak sebelahnya pula kata menzalimi rakyat.

    Tapi apapun
    #asalbukanmuhyidin

Comments are closed.