Makanan hari ini sebenarnya telah dimasak oleh seorang wanita penduduk Palestin, Eman Mfleh yang kini tinggal di negara ini bersama-sama suami, anak perempuan dan empat orang cucunya.

KUALA LUMPUR – Atas dasar penghargaan atas keprihatinan Malaysia memberikan tempat tinggal kepada mereka, sekumpulan wanita warga Syria, Palestin, Yaman dan juga Iraq beramai-ramai memasak untuk para petugas hospital.

Kumpulan itu yang juga bekerjasama melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Al-Hasan Volunteer Network dan Beyond Borders Malaysia bertindak menyediakan makanan kepada petugas di Hospital Ampang.

Beberapa netizen termasuk petugas hospital yang berkongsi perkara itu dalam laman sosial Facebook menulis, kumpulan itu mahu mengucapkan terima kasih kepada kumpulan barisan hadapan yang siang malam bertungkus lumus mempertaruh keselamatan diri membendung wabak pandemik Covid-19.

Salah seorang netizen juga aktivis terkenal, Mahi Ramakrishnan menulis, makanan yang dimasak itu akan dihantar ke hospital oleh sukarelawan ini sehingga 31 Mac ini.

“Makanan hari ini sebenarnya telah dimasak oleh seorang wanita penduduk Palestin, Eman Mfleh yang kini tinggal di negara ini bersama-sama suami, anak perempuan dan empat orang cucunya.

“Anak lelaki Eman terbunuh di Syria sehingga memaksa keseluruhan keluarganya mendapat perlindungan di negara ini.

“Kata Eman, beliau sebenarnya teruja untuk dapat sedikt sebanyak membantu jika hendak dibandingkan dengan pengorbananan yang sedang dilakukan oleh para petugas barisan hadapan ini.

“Doktor, jururawat dan semua yang lain di hospital semuanya sedang bertungkus lumus bagi memastikan kita semua selamat, sekurang-kurangnya ini sesuatu yang kecil untuk kami sumbang yang besar maknanya buat kami semua kata Eman,” tulis Mahi sebentar tadi.

MalaysiaGazette juga dapat melihat wajah gembira petugas hospital menerima sumbangan makanan dengan wajah gembira, pastinya memberikan seribu satu makna apatah lagi dalam keadaan tidak menentu dalam menangani Covid-19 ini. –MalaysiaGazette