Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pemaju perumahan meminta kerajaan menunda tarikh penyerahan projek kepada pembeli selepas pembinaan terjejas oleh perintah kawalan pergerakan untuk mencegah penularan COVID-19.

Bekas Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia,
Datuk Ng Seing Liong berkata, pemaju tidak harus menanggung kesalahan jika berlaku kelewatan serahan projek pada tempoh getir ini.

“Pembeli bagaimanapun akan sukar menerima hakikat rumah mereka tidak disiapkan mengikut jadual asal.

“Dalam keadaan ini, kerajaan justeru perlu campur tangan untuk mengurangkan pertikaian antara pemaju dan pembeli rumah,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Kebangsaan Pembeli Rumah, Tan Chong Leng pula berkata, pembeli tidak mungkin memperbesarkan satu isu jika pembinaan rumah mereka hanya mengalami kelewatan dua minggu.

“Pembeli biasanya hanya akan mempertikai jika kelewatan berbulan-bulan malahan bertahun-tahun berlaku.

“Dalam saat getir seperti ini, tiada yang akan bising jika ia hanya lewat dua minggu, kerana proses ini hanya membuang masa dan wang sahaja,” katanya.

Tambahnya, masih terlalu awal untuk membincangkan isu kelewatan memandangkan belum pasti bila industri pembinaan akan dibenarkan menyambung kerja. – MalaysiaGazette