Gambar Hiasan. foto HAZROL ZAINAL, 11 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR –  Pengendali perkhidmatan rel dalam bandar dan bas berhenti-henti Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan melaksanakan perkhidmatan terhad untuk perkhidmatan pengangkutan awam bermula Rabu ini hingga 31 Mac 2020.

Ia berikutan keputusan Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Menurut Prasarana, semua perkhidmatan rel Rapid KL yang meliputi perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel akan beroperasi bermula pukul 6 pagi sehingga 10 pagi dan disambung semula pada pukul 5 petang sehingga 10.00 malam.

Berikut adalah jadual perkhidmatan rel dalam bandar untuk Isnin hingga Jumaat:

Isnin hingga Jumaat:
• 6.00 pagi – 7.00 pagi: Kekerapan 30 minit
• 7.00 pagi – 9.00 pagi: Kekerapan 10 minit (jam puncak)
• 9.00 pagi – 10.00 pagi: kekerapan 30 minit
• 5.00 malam – 7.00 malam: kekerapan 10 minit (jam puncak)
• 7.00 malam – 10.00 malam: kekerapan 30 minit

Manakala untuk hari Sabtu, Ahad serta hari cuti umum perkhidmatan bas akan bermula pada pukul 6 pagi hingga 10 pagi dengan kekerapan 30 minit dan pukul 5 petang hingga 10 malam dengan kekerapan 30 minit juga.

“Tiada perkhidmatan di antara 10.00 pagi hingga 5.00 petang. Kereta api terakhir akan menamatkan perkhidmatan pada 10.00 malam, dan semua stesen akan ditutup dengan sewajarnya,” menurut kenyataan Prasarana .

Katanya, semua bas berhenti-henti – Rapid KL, Rapid Penang, Rapid Kuantan dan Rapid Kamunting – juga akan beroperasi antara pukul 6 pagi hingga 10 pagi dan pada pukul 5 petang hingga 10 malam.

Untuk mendapat lokasi bas, pelanggan boleh merujuk kepada laman sesawang myrapidbus.prasarana.com.my/kiosk, sementara pelanggan Rapid Penang boleh memuat turun aplikasi Rapid Penang Journey Planner dari Google Play.

Mereka juga boleh menghubungi Prasarana untuk bantuan selanjutnya.

Feri Pulau Pinang, yang dikendalikan oleh Rapid Ferry, akan mengendalikan satu feri setiap jam antara pukul 6pagi hingga 10 pagi dan antara pukul 5 petang hingga 10 malam.

Prasarana juga menasihati orang ramai khususnya mereka yang berkhidmat di bawah Perkhidmatan Penting dan perlu bertugas serta perlu menggunakan perkhidmatannya supaya merancang perjalanan mereka atau mencari pengangkutan alternatif.

“Bagi yang tidak berkenaan dinasihati untuk mengikut arahan Kerajaan untuk tinggal sahaja di rumah,” katanya.

Untuk butiran lanjut, sila kunjungi saluran media sosial Prasarana di laman Facebook Rapid KL @myrapid, Twitter atau Instagram di @myrapidkl. – MalaysiaGazette