M. Saravanan

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia memandang serius laporan mengenai kilang-kilang yang memaksa pekerja mengambil cuti tahunan dan cuti tanpa gaji dalam tempoh dua minggu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Tindakan yang tidak bertanggungjawab itu sudah tentu akan menggagalkan usaha kerajaan dalam menangani dan memecahkan rantaian virus Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri S. Saravanan menegaskan, kerajaan tidak akan sama sekali berkompromi dalam soal kebajikan pekerja kerana usaha kerajaan ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak, majikan dan pekerja.

Tegas beliau, rakyat Malaysia hanya mempunyai pilihan terhad dalam tempoh pelaksanaan PKP – sama ada berjaya membendung wabak ini dalam masa dua minggu ini ataupun bersiap siaga untuk menghadapi gelombang ketiga yang berkemungkinan akan lebih mencabar.

Meskipun tempoh dua minggu PKP merupakan satu tempoh yang paling mencabar untuk semua rakyat Malaysia, namun langkah ini amat penting bagi membendung wabak Covid-19.

Saravanan berkata, kerajaan tidak ada pilihan lain kerana virus ini tidak memberi peluang kepada kita untuk mencuba ataupun menguji sesuatu inisiatif.

Malahan, masa juga tidak memihak kepada kita.

Walaupun langkah itu memberi impak yang besar kepada warga pekerja dan perniagaan tempatan tetapi adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk mematuhi arahan PKP ini.

“Kerjasama pekerja dan majikan bersama-sama dengan kerajaan sudah pasti akan menghasilkan penyelesaian yang positif. Wabak ini harus dibendung dan kesatupaduan kita dalam perkara ini adalah amat penting untuk mencapai kejayaan yang diingini,” ujarnya. – MalaysiaGazette