Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

KUALA LUMPUR – Seramai 270 rakyat Malaysia yang berada di Bangladesh akan dibawa pulang ke tanah air esok, kata Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Katanya, jumlah keseluruhan rakyat yang berada di negara tersebut adalah 367 dan Wisma Putra menerusi Perwakilan Malaysia kini sedang membuat persiapan untuk membawa mereka yang bersetuju untuk pulang dengan segera.

“Wisma Putra melalui Perwakilan Malaysia di Bangladesh juga sedang membuat persiapan untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di sana susulan keputusan kerajaan Bangladesh berkaitan penularan wabak Covid-19.

“Setakat jam 12 tengahari tadi, seramai 367 orang rakyat Malaysia direkodkan berada di Bangladesh,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara hari ini.

Jumlah itu termasuk 219 orang pelajar yang menuntut di Bangladesh; 55 orang kakitangan Hospital Medan Malaysia di Cox Bazar; 73 orang yang menetap dan bekerja di Bangladesh termasuk ahli keluarga mereka dan 20 orang penjawat awam serta ahli keluarga penjawat awam yang bertugas di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh.

Daripada jumlah ini, kata Hishammuddin, seramai 270 orang telah bersetuju dibawa pulang ke Malaysia dalam masa terdekat.

Bagaimanapun tambah beliau, seramai tujuh penjawat awam yang bertugas di Suruhanjaya Tinggi Malaysia akan kekal di Bangladesh agar dapat meneruskan tugas berkaitan urusan negara.

“Kerajaan telah meminta tujuh orang penjawat awam untuk kekal bertugas di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh. Bagi pihak kerajaan, saya amat menghormati dan berterima kasih kerana mereka sanggup kekal di sana demi tugasan kepada negara,” katanya lagi.

Menurut beliau lagi, seramai 270 rakyat akan dibawa balik dengan pesawat sewa khas jenis Airbus 332 milik syarikat penerbangan Malaysia Airlines yang dibiayai sepenuhnya oleh MIC.

“Buat masa ini, kerajaan Bangladesh telah menyuarakan jaminan akan memberi kebenaran khas kepada pesawat ini untuk mendarat serta berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, Dhaka.

“Sementara itu, selepas membiayai sepenuhnya kos keseluruhan 6 penerbangan sewa khas untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di India, hari ini sukacitanya saya mengumumkan bahawa kos penerbangan untuk membawa pulang rakyat Malaysia dari Bangladesh ini sekali lagi akan dibiayai sepenuhnya oleh parti MIC,” tambahnya.

Hishamuddin turut memaklumkan Wisma Puta setakat ini berjaya membawa balik 1,000 orang rakyat Malaysia yang terkandas di Uzbekistan, Mesir, Maldives, Nigeria, Thailand, Jepun, Kemboja.

Malah, Wisma Putra juga setakat pagi ini telah berjaya membawa pulang seramai 696 orang rakyat Malaysia yang terkandas di India termasuk menerusi kerjasama dengan MIC dan AirAsia.

Dengan bantuan Wisma Putra, Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga ujarnya telah berjaya membawa pulang seramai 46 orang rakyat Malaysia dari Iran.

Dalam pada itu, perbincangan di antara kerajaan Itali, MKN dengan Wisma Putra sedang dijalankan.

Selain itu Hishamuddin turut memaklumkan MKN, Wisma Putra dan Perwakilan Malaysia di Itali sedang berunding dengan kerajaan di negara tersebut bagi memberi kebenaran mendarat khas kepada pesawat kita seterusnya membolehkan urusan membawa balik rakyat dari sana segera dilaksanakan.

Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran yang turut hadir ketika sidang media yang sama berharap agar bantuan yang dihulurkan oleh MIC tidak disalahertikan kerana pada masa cemas begini tidak wajar untuk mempertikaikan pihak yang memberi bantuan kepada kerajaan.

“Banyak yang bertanya kenapa MIC diberi ruang membuat bayaran, saya nak beritahu rakyat umum ini masa kecemasan. Jadi, saya tampil menolong bukan sahaja rakan saya, abang saya 25 tahun tetapi masa di negara ini yang cemas jangan tanya kenapa mereka kami mahu membantu kementerian.

“Tidak akanlah kita nak kritik siapa nak bayar. Kalau dikatakan ‘ada udang di sebalik batu’ itu adalah perkara tidak baik. Ini usaha murni untuk menolong rakyat kita,” jelas beliau. -MalaysiaGazette